Dahulu bertugas sebagai Metallurgist di sebuah kilang swasta antarabangsa di Ipoh. Pengkhususan tugas dalam bidang 'melting' perleburan keluli dan besi, rawatan haba (heat treatment), failure analysis (kajian kegagalan logam).

Kemudian bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang magnesium smelting, bertanggungjawab dalam pengawalan proses utiliti dalam seksyen boiler (dandang),
jet vacuum pump, LPG dan compressed air system.

Kembali ke kilang lama sebagai Moulding Engineer (Head Of Department).....dunia logam dunia kerja saya...

Selepas itu berhijrah ke dunia Elektrokimia sebagai Production Engineer di Yuasa Battery. Masih dalam bidang metalurgi iaitu mendalami tabiat plumbum dan beberapa logam seperti antimoni dan Tin.

Menyediakan laman ini untuk bekalan bahan kajian dan bacaan kejuruteraan logam dalam bahasa melayu. Menjunjung aspirasi kejayaan tamadun negara bangsa melalui penataran bahasa eka, Metalurgis-Melayu akan bekerja ke arah itu. Terdapat mungkin beberapa laopran kerja saya akan diubah bahasa daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Moga ia dimanfaatkan.

Wednesday, September 23, 2009

Sindrom anak watan?

Sindrom anak watan?

Ramai bercakap di merata tempat, Melayu adalah bangsa yang manja. Melayu malas dan sebagainya. Terma malas atau manja mungkin disimpulkan melalui pengamatan objektif dan menumpu kepada suatu kelompok sahaja sebagai suatu sampel iaitu bangsa Melayu. Bagaimana pula jika skop objektif itu diperluas hingga ke skop anak watan, bumiputera atau anak tempatan sesebuah Negara? Mungkin ia lebih memaknai kalimah manja dan malas tersebut.

Adakah sindrom malas dan sebagainya tetap akan dialami oleh semua anak watan? Malah ia boleh diterjemah lagi kepada beberapa gejala lain seperti tiada daya saing, lemah, rendah mentaliti dan sebagainya. Pada saya sikap selesa dan tenteram menjadikan jiwa anak watan lebih kepada jiwa 'quo', terlalu pasif untuk menghadapi segala perubahan luar dan dalam kosmo budayanya serta tegar untuk mengekalkan jiwa tenangnya walaupun hakikatnya kemandirian dirinya sendiri tidak terjamin walaupun atas nama anak watan, penduduk tempat atau ketuanan bangsa tertentu.

Melayu atau dalam akronim budaya yang lebih luas iaitu umat Islam, perlu memiliki daya saing untuk terus relevan dalam alam persaingan kini. Terjemahan 'konfrontasi kekal' oleh Adian Husaini dalam bukunya Wajah Peradaban Barat, cukup jelas untuk kita pertimbangkan. Konfrontasi tetap dan dielektik budaya antara barat dan Islam bukan sekadar berpaksikan dialektika geo-politik, sosial politik atau atas nama perbezaan tanah, tetapi ia adalah suatu pertembungan teori nilai, ideologi dan idealisme serta set-set pemikiran dan set-set norma kehidupan. Dalam hal itulah Prof Wan Mohd Nor Wan Daud menyarankan gaya langkah kita dalam bergerak balas dengan ransangan globalisasi dan hambatan sosial ala barat adalah melalui jalan yang positif iaitu medan ilmu dan kepakaran. Umat Islam perlu dipersiapkan dengan nilai ilmu yang cukup serta bernilai 'competetive advantage' atau golongan teras dalam sosial (qaidah sulbah).

Saya melihat sendiri bagaimana pekerja-pekerja kilang di industri tempat saya bertugas, lebih senang bersikap tuan daripada menjadi pekerja yang merangkap pelajar. Konsep bekerja selepas belajar di sekolah atau institusi pendidikan adalah salah kerana bekerja itu adalah suatu alam pembelajaran secara tidak langsung. Pekerja tempatan anak watan lebih suka menjadi pengarah kepada pekerja asing walaupun status mereka adalah sama di kilang-kilang iaitu operator atau pekerja am. Malah disebabkan kerajinan luar biasa warga asing, mereka berjaya mengecapi gaji yang lebih tinggi berbanding anak Melayu sendiri. Anak Melayu marhain lebih suka berbelanja dengan boros serta merancang kehidupan di luar kemampuan mereka. Gaya ranggi dan elitisme menjalar dalam jiwa mereka walaupun pengetahuan dan poket mereka kosong.

Semasa bekerja di lapangan industri kini, saya belajar dengan memerhatikan beberapa pekerja lama yang telah bekerja lebih daripada 20 tahun. Walaupun tanpa sijil yang tinggi, kerajinan dan usaha mereka menguasai tektikal dan teknikal di kilang-kilang menyebabkan mereka menjadi 'sifu' dan pakar rujuk dalam bidang berkenaan. Sekiranya mereka adalah Muslim dan anak Melayu yang berkesedaran , kepakaran mereka itu amatlah bermakna. Mereka akan mengisi Renaissance umat Islam dengan kepakaran yang mereka ada walaupun mungkin tiada sijil di tangan.

Di kilang saya, belum ada lagi jurutera metallurgist berbangsa Melayu. Jawatan itu pernah dipegang oleh beberapa individu daripada Australia dan jurutera berbangsa Cina. Saya merasakan ia suatu peluang baik untuk belajar sesuatu melalui jawatan yang diperolehi. Lantaran itu apabila jalan telah terbuka, sikap agresif untuk mendapat ilmu mula memuncak. Pada saya bangsa asing terutama bangsa-bangsa kulit barat bersedia berkongsi ilmu dengan kita apabila sahaja kita bersungguh untuk menaikkan bidang industri yang kita ceburi. Malah mereka lebih terbuka untuk mewariskan ilmu berbanding warga negara kita sendiri. Jiwa terpencil atau inferiority complex adalah antara penghalang umat Islam terutama yang berbangsa melayu untuk berdaya saing bersama-sama bangsa-bangsa lain sekaligus mengukuhkan teras sosial kita melalui kepakaran yang bakal kita miliki.

Muhammad Nuruddin Bashah

Metallurgist

Prima Metal Sdn Bhd Ipoh

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Engineering Blogger

Template Design | Elque 2007