Setiap makhluk Allah adalah lengkap melengkapi.
Setiap makhluk Allah adalah lengkap melengkapi.
Muhammad Nuruddin Bin Bashah
Bc Hons Engineering (material) UM
Setiap benda yang diciptakan oleh Allah adalah bertujuan. Setiap perkara yang terjadi pasti memiliki rahsianya samada yang mampu ditaakul oleh akal kita atau pun menjadi rahsia kepada Allah SWT. Malh setiap yang diciptakan oleh Allah saling lengkap melengkapi dan menjadi sebuah system yang lengkap.
Lihat Firman Allah di bawah;
Dan langit itu kami bangun dengan kekuasaan (kami) dan Sesungguhnya kami benar-benar berkuasa. Dan bumi itu kami hamparkan, Maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami). Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.
(Surah Az Zariyat : 47-49)
Jika kita mengkaji nilai satu sel manusia, ia hanya akan bernilai jika dilihat fungsinya. Fungsinya hanya akan terserlah setelah kita menggambarkan ia berada dalam suatu kelompok yang dinamakan organ. Malah organ yang dibentuk melalui satu sel itu juga hanya benar-benar bermanfaat jika ia mampu berfungsi dengan organ yang lain membentuk system dan menghidupkan insane. Inilah bezanya seketul hati lembu di pasar dengan organ manusia yang dijual ribuan ringgit. Fungsinya yang menjadikan ia berharga.
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.
( Surah Ali Imran ayat 190-191)
Semasa bekerja sebagai pelatih metallurgist di kilang, saya telah dibawa menjelajah kilang oleh seorang supervisor yang lebih 30 tahun mendalami bidang foundry (perkilangan besi dan aloi). Beliau menerangkan kepada saya tentang satu komponen sahaja dalam jabatan pemasakan besi (Furnace department) iaitu Ladle. Ladle adalah seumpama baldi besi besar yang mampu menampung bhingga 8 tan besi cair. Saya tertanya-tanya bagaimana besi cair yang hanya lebur pada takat 1500 C tidak merosakkan atau melebur dinding ladle yang juga diperbuat daripada besi? Di dalam buku-buku rujukan universiti tidak diterangkan bagaimana.
Selepas saya menjenguk kedalam ladle yang kosong, saya ternampak lapisan batu bata dan selapisan kertas ceramik. Ya, batu telah dijadikan alas (lining) di dalam ladle untuk mengelakkan besi panas merosakkan dinding ladle yang juga diperbuat daripada besi.
Semua mengetahui bahawa logam lebih kuat dan hebat berbanding batu. Tetapi Allah menciptakan sesuatu benda itu berfaedah pada keadaan tertentu, menjadi kerosakan dan kerugian pada keadaan tertentu. Dalam keadaan suhu begitu tinggi, batu bata mampu menahan kepanasan besi cair walaupun sehingga 120 kali diulang pakai! Dalam satu keadaan lain, besi digunakan sebagai tukul untuk memotong bukit, memcah jalan raya dan sebagainya. Inilah keadilan tuhan dan sunnah alam.
Lihat sahaja bagaimana besi dan logam keras seperti titanium hanya boleh dipotong dengan menggunakan intan. Intan adalah pepejal yang keras dan mampu menjadi mata pemotong yang paling kuat. Intan berasal daripada unsur karbon sahaja. Karbon adalah kumpulan bukan logam dalam jadual berkala kimia (periodical table), manakala titanium adalah logam yang bersifat keras dan kuat. Tetapi apabila sebatian grafite terpendam di dalam tanah dan mengalami suhu tinggi, ia bertukar menjadi intan yang cukup keras.
Atas sunnah inilah, manusia juga memiliki peranannya dalam bermasyarakat. Semua insan memiliki tanggungjawab untuk menstabilkan keharmonian dunia. Allah jadikan setiap daripada kita berfungsi dengan baiknya serta memendam potensi unggul dalam diri kita sehinggalah kita menjumpainya dan memancarkan manfaat kepada sesiapa sahaja termasuk kepada musuh kita kadangkala.
Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.
Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
( Surah Al Fathir ayat 27-28)
0 comments:
Post a Comment