Bawa Pulang Segera Bijak Pandai Sains
Bawa Pulang Segera Bijak Pandai Sains
Posted: 28 Nov 2010 11:29 AM PST
Menurut Perdana Menteri, setakat ini kita masih gagal menepati sasaran bilangan penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) secukupnya sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sasaran adalah 60 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
Ketika ini, hanya 18 RSE mampu dihasilkan dalam RMK-9. Najib mahu supaya langkah lebih drastik dilakukan. Katanya, antara kaedah terbaik untuk meningkatkan RSE adalah membawa mereka menetap di luar, kembali ke tanah air dengan menyediakan insentif menarik. Bagi Najib, RSE ialah isu besar yang perlu ditangani segera dengan ‘apa saja yang perlu’ bagi membina pangkalan penyelidikan dan pembangunan serta kumpulan berbakat dalam pelbagai cabang sains.
China, India dan Brazil menggunakan model buruh murah dan kepakaran rendah khususnya sektor pengeluaran. Daya saing mereka terletak kepada kos murah menggunakan teknologi serta pelaburan asing. Malaysia tidak lagi berada dalam kelompok ini. Selain kos buruh semakin meningkat, rakyat Malaysia juga sudah tidak lagi berminat dan produktif menjadi buruh dengan bayaran murah.
Mahu tidak mahu, Malaysia terpaksa bersaing untuk memajukan model ekonomi nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi seperti yang berjaya dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS), Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Di sinilah perlunya pembabitan ramai saintis dan jurutera untuk memajukan inovasi dan teknologi baru.
Pertama, pendekatan meningkatkan jumlah RSE di kalangan rakyat tempatan. Pada hemat saya, kaedah ini lebih mudah dan murah membangunkan kepakaran dan kemahiran sains dan teknologi menggunakan sistem dan sumber sedia ada, khususnya menerusi universiti tempatan atau agensi penyelidikan. Faktor kejayaan utama (CSF) ialah dana penyelidikan dan skim perkhidmatan S&T yang menarik.
Menerusi pendekatan ini universiti dan agensi penyelidikan tempatan perlu berganding bahu menyediakan skim latihan lebih terancang sehingga peringkat ijazah kedoktoran. Perlu juga diberi perhatian bahawa peranan universiti tidak merangkumi seluruh rantai nilai dalam penjanaan kreativiti dan inovasi sehingga dapat menjana kekayaan.
Selepas atau ketika mengikuti pengajian peringkat lanjutan, mahasiswa perlu didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan dengan inovasi dan peluang mengembangkan lagi aspek kebolehpasaran sesuatu idea, inovasi atau harta intelek. Kebolehpasaran itu tidak bermakna mereka perlu menjadi usahawan.
Realitinya termasuk di negara maju seperti AS, peranan ahli sains dan jurutera fokus kepada bidang S&T seperti dilakukan dalam projek penyelidikan peringkat kedoktoran yang relevan dengan perkembangan terkini dalam sesuatu disiplin.
Kemudian hasil penyelidikan itu disalurkan kepada kumpulan lain yang mengkhusus kepada penjanaan modal, pengeluaran skala besar, pemasaran dan pelan perniagaan. Pada hemat saya masih ramai beranggapan, termasuk di kalangan pembuat dasar, bahawa ahli sains dan jurutera juga perlu dipertanggungjawabkan mengenai seluruh komponen rantaian nilai termasuk aspek perniagaan dan pelaburan. Kalau mampu silakan. Tetapi realitinya hanya segelintir boleh berbuat demikian.
Pendekatan kedua ialah mendapatkan kepakaran luar seperti dilakukan Singapura, Australia dan AS. Ketika ini, hangat dibincangkan isu pengaliran keluar imigran warga AS (pemegang pasport kategori H-1B) ke negara asal masing-masing. Mereka banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi inovasi sejak lebih 20 tahun lalu.
Masalah birokrasi AS sehingga melewatkan proses kelulusan sebagai penduduk tetap membabitkan lebih sejuta jurutera, saintis, penyelidik dan doktor pada 2006 saja. Visa yang dikeluarkan setahun hanya 120,000 saja. Hal ini menyebabkan pakar dalam pelbagai bidang berkenaan pulang ke negara masing-masing khususnya India dan China.
Dari segi statistik, jumlah imigran baru khusus dari Asia adalah 12 penduduk AS. Mereka memulakan 52 peratus syarikat berteraskan teknologi di Lembah Silikon dan menghasilkan lebih 25 peratus daripada harta intelek (paten) dunia.
Mereka juga merangkumi 24 peratus tenaga kerja dalam bidang S&T dan 47 peratus pekerja berkelayakan PhD di AS. Mereka memulakan syarikat gergasi seperti Google, Intel, eBay, dan Yahoo!
Persoalannya apakah kita bersedia untuk ‘menangguk’ limpahan tenaga pakar itu untuk menjadikan Malaysia negara tempat mereka mencurah jasa kepada pertumbuhan ekonomi berteraskan inovasi dan kreativiti?
3 comments:
untuk bawa balik saintis, perlu sediakan kemudahan utk saintis tsb sambung kajian mereka di Malaysia selain gaji yang sama atau kurang sedikit drp apa yg diterima di negara tempat bekerja skrg...
Disamping itu, dgn kepulangan mereka ini, kerajaan perlu sediakan dana yg mencukupi bagi untuk setup research mereka disini. Tidak guna, kalau berjaya bawa balik ramai saintis yg bijak pandai & termuka, tp tidak boleh apa-apa di Malaysia akibat karenah birokrasi Malaysia yang selalunya melambatkan proses kemajuan/ pembangunan sesuatu makmal sains..
Satu lagi, kerajaan harus bagi kebebasan bekerja dan tidak terikat dgn karenah2 permohonan geran penyelidikan yang kadang2 komen panel langsung tidak masuk akal..
betul tu konsep 'give and take' kene ada..tp untuk mengatasinya dgn jangka masa panjang,tolongla JPA kuatkuasakan skim Biasiswa,rakan2 seangkatan saya pun lebih banyak bekerja di luar negara selepas belajar dengan biasiswa JPA contohnya doktor dan ahli fizik,disebabkan tidak tegas dari sudut perjanjian..apakah sebenarnya matlamat JPA sebenarnya memberikan biasiswa,namun timbal balik tidak ada..oleh itu jangan salahkan doktor dan ahli sains lain tidak mahu bekerja lihat pada permasalahan akar umbi ini dahulu,pasti berjaya insyaAllah
betul semua komen di atas. saya setuju. Birokrasi, diskriminasi dan nepotisme seringkali membantutkan kemajuan saintis dan engineer negara kita. Apa pun paling bagus yang ada peluang kaut ilmu dan pengalaman kerja di negara MAJU..selepas beberapa tahun kembali lah..walapun negara tidak subur dari aspek keilmuan dan penyediaan tempat untuk mereka, namun mereka masih ada ummah yang mana mereka adalah lambang (syiar) serta punca penerusan tamadun Islam di bumi Malaysia...saya faham begitu.....
Post a Comment