Dahulu bertugas sebagai Metallurgist di sebuah kilang swasta antarabangsa di Ipoh. Pengkhususan tugas dalam bidang 'melting' perleburan keluli dan besi, rawatan haba (heat treatment), failure analysis (kajian kegagalan logam).

Kemudian bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang magnesium smelting, bertanggungjawab dalam pengawalan proses utiliti dalam seksyen boiler (dandang),
jet vacuum pump, LPG dan compressed air system.

Kembali ke kilang lama sebagai Moulding Engineer (Head Of Department).....dunia logam dunia kerja saya...

Selepas itu berhijrah ke dunia Elektrokimia sebagai Production Engineer di Yuasa Battery. Masih dalam bidang metalurgi iaitu mendalami tabiat plumbum dan beberapa logam seperti antimoni dan Tin.

Menyediakan laman ini untuk bekalan bahan kajian dan bacaan kejuruteraan logam dalam bahasa melayu. Menjunjung aspirasi kejayaan tamadun negara bangsa melalui penataran bahasa eka, Metalurgis-Melayu akan bekerja ke arah itu. Terdapat mungkin beberapa laopran kerja saya akan diubah bahasa daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Moga ia dimanfaatkan.

Friday, December 21, 2012

Sains Ergonomik; kejuruteraan untuk kesejahteraan pekerja


Disiar dalam dewan Kosmik Disember 2012
Sains Ergonomik;  kejuruteraan untuk kesejahteraan pekerja
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM
Istilah Ergonomik adalah istilah yang paling signifikan dan kerap dikaitkan dalam dunia industri pembuatan, pembinaan dan teknologi kejuruteraan. Tidak hairan bidang sains ergonomik menjadi salah satu subjek yang wajib ditekankan kepada para pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang bertugas sebagai ‘wakil’ jabatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (JKKP) di kawasan perindustrian. Jika anda dapat menghasilkan sebarang teknologi, peralatan, apparatus dan peranti yang dapat mengurangkan kesakitan, kepenatan dan ketidak selesaan pekerja, anda dianggap telah berjaya membawa nilai egornomik untuk kesejahteraan pekerja.

Terminologi
Menurut International Labour Organization (ILO),  istilah ‘ergonomik’membawa maksud bidang  sains biologi manusia yang berhubung dengan sains kejuruteraan di antara pekerja dengan persekitaran kerjanya. Ia suatu sains yang mengkaji kesan sesuatu pekerjaan terhadap kesihatan fizikal dan mental akibat kerja yang melebihgi kemampuan sistem biologi manusia.
Dewasa ini, ergonomik yang juga dikenali sebagai ‘faktor manusia’  menjadi antara isu penting di dunia pekerjaan. Istilah faktor manusia (human factor) mula digunakan di Amerika Syarikat dan istilah ergonomik lazimnya digunakan di negara Eropah, Asia, Afrika dan hampir di seluruh dunia.
Menurut  Sanders dan McCormick walaupun kedua-dua istilah ini berbeza dari segi sebutan namun dari segi praktikal ia adalah sinonim.  Selain itu menurut MacLeod, istilah lain yang sinonim dengan ergonomik dan biasa digunakan termasuklah sistem manusia-mesin (man-machine system), antara muka sistem manusia (human-system interface) dan kejuruteraan faktor manusia (human factors engineering).
Dari segi istilah perkataan ergonomik ini digunapakai oleh Murrell (pada tahun 1949) apabila beliau menggabungkan dua perkataan Greek iaitu ‘ergon’ bermaksud kerja dan ‘nomos’ bererti peraturan yang membawa maksud ‘peraturan bekerja’. Ergonomik mula diperkenalkan dalam risalah pada tahun 1857 oleh seorang pakar sains dari Poland bernama Jastrzebowski.
Dalam aspek kejuruteraan, istilah  ergonomik bermaksud  suatu bidang  sains rebentuk interaksi pengguna dengan sesuatu peralatan dan tempat kerja untuk cocok (muat) dengan keadaan pengguna atau pekerja.
Manakala Persatuan Ergonomik Antarabangsa mentakrifkan ergonomik sebagai kaedah untuk merekabentuk dalam usaha untuk mengoptimumkan kesejahteraan dan keseluruhan prestasi manusia semasa bekerja.
Jika majikan mengatakan ilmu ini sebagai suatu pembaziran dan tidak menyumbang kepada kejayaan syarikat, mereka telah salah. Ergonomik dijadikan topik bahas untuk memenuhi dua matlamat iaitu kesihatan pekerja dan produktiviti syarikat atau jabatan. Jika pekerja dapat bekerja dengan selesa dan pantas, mereka mampu meningkatkan hasuil produktiviti.
Menurut NIOSH dalam buku manual untuk Pegawai Keselamatan dan kewsihatan Pekerjaan Jilid 3, objektif ergonomik adalah meningkatkan tahap efektif dan efisyen kerja ataupun apa-apa aktiviti yang dilaksanakan seperti mengurangkan kesalahan, meningkatkan produktiviti dan memudahkan kerja. Ia juga cuba meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan positif seperti, meningkatkan keselamatan, mengurangkan kepenatan, meningkatkan keselesaan dan kualiti kerja.




Bagaimana terapkan aspek ergonomik?
Makalah ini tidak mampu mengupas secara terperinci bagaimana penyusunan tempat duduk, kedudukan pekerja dan mesin, cara bekerja dan sebagainya, tetapi ruang ini masih boleh menghurai secara umum skop perlaksanaan agenda ergonomik di tempat kerja.
Untuk melaksanakan ergonomik, bidang antropometrik perlu dijadikan subjek penting. Para majikan dan pegawai keselamatan tempat kerja perlu mengetahui ukuran dimensi, ciri-ciri fizikal seperti isipadu, pusat graviti, jisim dan segmen tubuh badan manusia. Tanpa penekanan aspek ini, pasti pekerja akan merasai kesakitan akibat bekerja pada kedudukan yang memerlukan capaian luar lokus cakupan maksimum tangan sebagai misalannya. Kedudukan kerusi da meja kerja pelru disesuaikan dengan saiz dan badan pekerja.
Bidang biomekanik juga penting dalam memberi penekanan kepada keupayaan anggota badan manusia melaksanakan kerja mekanikal seperti mengangkat, memikul, menolak atau memukul/menghentak. Cara mengangkat bebanan dan berat adalah sebahagian daripada aspek biomekanik ini.


Contoh amalan ergonomik semasa mengangkat barang
Fisiologi juga merupakan aspek utama dalam menentukan tahap keselesaan pekerja melaksanakan kerja. Tanpa pengetahun ini menyebabkan majikan atau ketua seksyen memberi arahan kerja yang menyebabkan kesan kepada jantung dan peredaran darah.
Sejarah ergonomik
Dari sudut sejarah, asas sains ergonomik telah diaplikasi dalam budaya Yunani Purba. Banyak bukti menunjukkan bahawa tamadun Yunani menggunakan prinsip-prinsip ergonomik dalam reka bentuk alat, pekerjaan dan tempat kerja mereka.
Misalnya Hippocrates pernah  memberi makluman bagaimana tempat kerja seseorang pakar bedah harus direka dan bagaimana peralatan bedah diatur. Dalam rekod-rekod arkeologi Mesir awal , peralatan isi rumah digambarkan memenuhi prinsip-prinsip ergonomik.
Ergonomik dalam sektor pendidikan
Dalam sektor pendidikan ergonomik adalah penting dalam usaha menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Dalam bidang pendidikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran seperti aspek ruang, pencahayaan, pengudaraan, perabot, dan pilihan warna adalah perkara yang wajar diambil berat . Perkara ini dikaitkan dengan persekitaran yang sempurna dan selesa yang akan menjamin kepuasan pembelajaran yang mantap.
A. Barbara menyatakan bahawa suasana dan persekitaran bilik darjah yang menarik dan menyelesakan dapat memberi kesan secara langsung dan tidak langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Konsep ergonomik harus digandingkan bersama bidang pendidikan kerana ia dapat menjamin kecemerlangan pencapaian akademik pelajar. Justeru, suasana bilik darjah termasuk surau sekolah juga mempengaruhi gaya dan keberkesanan interaksi pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar.
Tidak hairan kita dapati sekolah yang memiliki landskap yang cantik, peralatan kerusi meja yang selesa serta pengudaraan kipas serta tingkap yang baik berjaya meningkatkan skor dalam peperiksaan utama sekolah.
Dalam kertas kerja yang dibentang semasa Proceedings of The 4th International Conference on Teacher Education; Join Conference UPI & UPSI di Bandung, Indonesia, pada 8 hingga 10 November 2010 menyatakan perkembangan ergonomik dikatakan amat penting dalam bidang pendidikan dan secara tidak langsung merangkumi faktor-faktor pengajaran dan pembelajaran. Bagi mewujukan keselesaan dalam pengajaran dan pembelajaran, faktor-faktor fizikal seperti kebersihan, keindahan, kemudahan dan keselamatan harus dititik beratkan bagi menimbulkan situasi pengajaran dan pembelajaran yang sihat di kalangan guru dan pelajar. Jangan sesekali kita memperkecil isu kebersihan dan keceriaan kelas.
Darihal itu , perancangan yang mengambil kira lokasi sekolah, kemudahan-kemudahan bagi aktiviti riadah dan landskap yang sesuai akan menyumbang kepada kecergasan, psikologi dan kesihatan warga sekolah. Landskap yang baik juga bukan sahaja dapat  menyumbang kepada oksigen yang cukup, malah dapat menapis bunyi kenderaaan, penapis habuk kekotoran di samping dapat memberikan persekitaran yang nyaman untuk suasana pembelajaran.

Aspek penguatkuasaan perundangan
Jika tiada ergonomik yang baik tekanan di tempat kerja berlaku dan jika  berlebihan boleh menjejaskan prestasi kerja dan kesihatan. Tekanan yang berlebihan akan menyebabkan pekerja mengalami stres.
Menurut Shafinaz (2007) stres tercetus apabila unsur mendesak mengatasi keupayaan untuk menanganinya. D alam jangka masa panjang ia boleh mengakibatkan tekanan emosi kronik kepada pekerja yang boleh menyebabkan kemurungan, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan penyakit mental. Pekerja tidak boleh lari dari tekanan di tempat kerja tetapi ia boleh ditangani dan diuruskan dengan baik.
Kerajaan Malaysia telah memiliki undang-undang khusus untuk melindungi tahap kesihatan dan keselamatan pekerja di tempat kerja melalui Akta Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan 1994.
Menurut Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), menetapkan ‘tugas am bagi majikan ialah menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat serta menjamin kesejahteraan pekerja’.
Ia juga termasuk memastikan tiada kesan negatif daripada faktor-faktor seperti kebisingan, pencahayaan, suhu, kelembapan, pengalihudaraan (ventilation) , habuk, bau, getaran dan bahan berbahaya.
Majikan juga hendaklah mengamalkan budaya tempat kerja yang berkualiti seperti mengutamakan persekitaran kerja yang terbuka, mengamalkan dialog dan perhubungan secara meluas, memberi peluang sama rata dan tiada diskriminasi serta memastikan penyelesaian masalah bersama.
Masalah keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang melibatkan isu ergonomik boleh diselesaikan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 30.
 Aplikasi ergonomik di tempat kerja adalah sejajar dengan kehendak Seksyen 4(c) iaitu ‘memperkenalkan persekitaran bekerja yang sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi pekerja’.
Jelas sains ergonomik telah diperkenalkan di Malaysia lebih sedekad yang lalu dan membangun seiring dengan  penubuhan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada 1 Disember 1992.
Akibat tiada ergonomik
Kegagalan mekasanakan ergonomik boleh menjadikan  pekerja;
  • Melakukan kerja berulang kali untuk menyelesaikan sesuatu kerja(kedudukan peralatan kerja yang tidak disusun rapi).
  • Penggunaan daya yang banyak (ketiada alat bantu/mesin)
  • Postur badan yang tidak sesuai atau kaku (kerana ketiadaan penerapan senaman ringkas atau bentuk kerusi yang tidak sesuai)
  • Kerja terpaksa dilakukan pada jangka masa yang panjang (kedudukan bahan kerja, aturan kerja yang tidak betul).
  • Gegaran yang mengganggu anggota tubuh dan aliran darah (akibat peralatan pneumatik atau kerusi jentera yang tidak berkusyen)
  • Pemicitan saluran darah (akibat sentuhan berpanjangan dengan alatan kerja sebagai contoh jurutaip yang bersentuhan tapak tangan atas meja)
Sekiranya seseorang pekerja melakukan kerja berulang kali, pekerja tersebut biasanya akan melakukan tugas tersebut menggunakan anggota badan yang sama secara berulang-ulang. Apabila kerja sebegini dilakukan, anggota badan tersebut tidak akan mendapat rehat yang secukupnya dan seterusnya menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada pekerja.
Menurut Amstrong dan Chaffin (1979), bagi kerja yang mempunyai masa kitaran yang kurang dari 30 saat, risiko untuk penyakit musculoskeletal diseases (MSDs) meningkat sebanyak 5.5 kali ganda berbanding kerja yang mempunyai masa kitaran yang lebih daripada 30 saat
Berlainan pula dengan seorang pekerja yang terlibat dengan kerja yang menggunakan daya yang banyak. Isu penggunaan daya yang banyak lebih tertumpu kepada  serat-serat yang ada pada otot, tendon dan sendi yang terputus dan seterusnya mengurangkan kekuatan pekerja untuk melakukan kerja sedemikian rupa bagi jangkamasa yang panjang.
Bagi pekerja yang terbabit dengan kerja-kerja yang memerlukan kedudukan postur yang tidak sesuai atau statik, ia boleh menyebabkan kepenatan yang lebih cepat. Ini adalah kerana di dalam postur yang sedemikian, otot-otot yang berada di dalam keadaan statik tidak mampu untuk mengepam darah yang membawa karbon dioksida dan bahan buangan keluar daripada anggota badan yang bekerja dan tidak mampu untuk mendapatkan darah yang membawa oksigen daripada jantung. Akibatnya pekerja boleh rasa kesakitan pada anggota badan yang terbabit.
Lihat gambar di bawah yang menggambarkan susasana kerja yang ergonomik:-
Contoh ukuran jarak kedudukan tangan, kaki dan mata seorang pekerja pejabat untuk menerapkan ergonomik.
Menurut satu artikel yang diterbitkan dalam isu Januari 2005 Januari  oleh JADA (jurnal Persatuan Doktor Gigi Amerika), lebih daripada 70% pelajar pergigian melaporkan sakit leher, bahu dan sakit belakang menjelang tahun ketiga sekolah pergigian. Ia mengalami kesakitan akibat postur badan yang kerap membongkok dan tidak baik untuk tulang.
Bukan sekadar postur badan yang diambil berat, malah disebabkan  banyak kerja pergigian memerlukan kemahiran, tumpuan dan  tangan yang stabil, doktor gigi boleh mengalami kesakitan tangan. Malah walaupun pelajar pergigian mempunyai kehidupan  di luar kelas pergigian, tabiat kerja setiap hari boleh menambah tekanan pada badan dan mereka memerlukan hanya satu penggal (6 bulan)  untuk mengetahui samada mereka mengidap  Gangguan Muskuloskeletal (MSD) atau tidak.
Kerja manual adalah kerja tanpa menggunakan mesin atau robot. Di Amerika pengendalian kerja secara manual (Manual material handling (MMH) work) turut menyumbang kepada peratusan yang besar iaitu lebih setengah juta kes gangguan otot skeletal yang dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat. Masalah muskuloskeletal (MSD)  sering melibatkan regangan dan terseliuh  belakang bahu,  anggota atas. Penyakit ini  boleh menyebabkan sakit berlarutan, kecacatan, rawatan perubatan yang mahal, dan tekanan kewangan bagi mereka yang menghidap mereka. Malah  majikan sering kali terpaksa membayar bil, sama ada secara langsung atau melalui insurans pampasan pekerja, pada masa yang sama mereka memang akan  menghadapi kerugian kehilangan kapasiti penuh pekerja mereka.

Cabaran dan halangan
Jika kita merujuk pada kajian Elmy (2005), temuramah beliau bersama Dr. Paul Yeow seorang ahli akademik ergonomik, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi dalam usaha mengaplikasikan ergonomik di Malaysia. Antara cabarannya ialah
(1) bidang ergonomik di Malaysia yang masih baru sering disalahertikan oleh banyak pihak terutamanya pihak majikan yang menganggap ia suatu pembaziran masa dan wang,
(2) kekurangan penyelidik untuk memperkenalkan dan mendalami bidang ergonomik,
(3) pekerja industri yang kebanyakkannya berpendidikan rendah dan
(4) kebanyakkan pihak pengurusan kurang prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Oleh itu, antara masalah yang dinyatakan ini boleh diatasi dengan menjalankan lebih banyak kajian seperti yang dilakukan oleh penyelidik untuk meningkatkan bilangan kajian dalam bidang ergonomik. Sekaligus dapat membantu mengatasi masalah kekurangan penyelidik untuk memperkenalkan bidang ergonomik di negara ini.
Para pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kawasan kerja perlulah menjalankan tugas dengan baik untuk menerapkan ergonomik.
Konsep Muda Mauri Maura
Bagi sesebuah syarikat atau jabatan kerajaan yang mengamalkan konsep Kaizen dalam pengurusan, pengeluaran dan tindakan di tempat kerja, mereka sebenarnya telah berjaya menepati sebahagian besar daripada sains ergonomik kerana terdapat konsep Muri, Mura dan Muda. Tiga konsep ini menekankan produksi atau pengeluara yang optimum melalui mengurangkan kesusahan, halangan dan kepayahan sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan. Muri sebagain coontoh adalah suatu budaya kerja yang cuba meminimakan bebanan yang tidak munasabah pada manusia ataupun mesin. Mura pula adalah budaya kerja yang mengelak daripada ketidakseimbangan bebanan kerja antara pekerja mahupun mesin.
Pelbagai konsep pengurusan boleh diaplikasi untuk menerapkan ergonomik. Yang pasti kerjasama erat antara majikan dan pekerja sahajalah yang mampu meningkatkan produktiviti melalui penerapan ergonomik.


Muhammad Nuruddin Bashah



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Engineering Blogger

Template Design | Elque 2007