Dahulu bertugas sebagai Metallurgist di sebuah kilang swasta antarabangsa di Ipoh. Pengkhususan tugas dalam bidang 'melting' perleburan keluli dan besi, rawatan haba (heat treatment), failure analysis (kajian kegagalan logam).

Kemudian bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang magnesium smelting, bertanggungjawab dalam pengawalan proses utiliti dalam seksyen boiler (dandang),
jet vacuum pump, LPG dan compressed air system.

Kembali ke kilang lama sebagai Moulding Engineer (Head Of Department).....dunia logam dunia kerja saya...

Selepas itu berhijrah ke dunia Elektrokimia sebagai Production Engineer di Yuasa Battery. Masih dalam bidang metalurgi iaitu mendalami tabiat plumbum dan beberapa logam seperti antimoni dan Tin.

Menyediakan laman ini untuk bekalan bahan kajian dan bacaan kejuruteraan logam dalam bahasa melayu. Menjunjung aspirasi kejayaan tamadun negara bangsa melalui penataran bahasa eka, Metalurgis-Melayu akan bekerja ke arah itu. Terdapat mungkin beberapa laopran kerja saya akan diubah bahasa daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Moga ia dimanfaatkan.

Wednesday, September 23, 2009

Maju lagi mahasiswa jurutera

Maju lagi mahasiswa jurutera

Siapa kata anak melayu tidak boleh maju? Ini soalan umum yang kelihatannya saya ego. Tetapi saya ingin berkongsi sedikit lagi pengalaman saya mengahdapi suasana kerja yang menghendaki kita menunjukkan prestasi kerja disamping terus perlu belajar ‘secara senyap’ untuk bersaing dengan kaum bukan Islam yang banyak menguasai ilmu teknikal. Akan tetapi ini tulisan motivasi bukan perkauman.

Satu hari saya bermesyuarat dengan metallurgist Australia. Dalam mesyuarat berkenaan ada juga technician berbangsa cina yang berpengalaman 30 tahun di kilang berkenaan serta memiliki pengalaman bekerja dengan beberapa metallurgist pelbagai bangsa dari pelbagai kelulusan universiti. Dalam mesyuarat berkenaan technician berkenaan bertanyakan satu soalan (mencabar metallurgist berkenaan) adakah nitrogen boleh berfungsi menghasilkan struktur butiran aloi (as grain refiner) logam bagi Manganese steel (keluli mangan. Metallurgist Australia berkenaan langsung terdiam. Beliau berkata saya pernah dengar tetapi yang saya faham selama ini Titanium yang digunakan untuk menghasilkan butiran aloi yang cantik bagi keluli mangan (manganese steel). Saya diam kerana ilmu belum cukup kuat.


Di kampus saya hanya belajar asas aloi dan bagaimana aloi dibuat. Saya tidak diajar memasak pelbagai jenis aloi kerana ilmu berkenaan adalah ilmu aktual jika berada dalam industri. Jika hanya belajar melalui master pun, ia hanya satu teori yang tidak tahu hujung pangkal.

Technician tadi terus menghebahkan kepada rakan-rakannya bahawa dirinya juga pandai seperti metallurgis mat salleh berkenaan. Juga dikatakan beliau hanya tahu satu sahaja cara refinement sebaliknya beliau tahu 2 cara.

Saya mencari di internet benarkan nitrogen berfungsi demikian. Apabila dikaji, selepas membaca beberapa jurnal, kertas kerja teknikal, iklan jurutera dan sebagainya, saya mendapati nitrogen memerlukan Titanium dalam masa yang sama untuk membentuk Titanium Nitride barulah boleh berfungsi terhadap manganese steel ! Jadi yang difahami oleh si technician tadi, titanium dan nitrogen digunakan tetapi bukan dalam masa yang sama. Yang saya dapati jika dibubuh nitrogen wajib ada titanium, jika ada titanium sahaja, ia akan menarik nitrogen dalam atmosfera dan membentuk Titanium Nitride juga akhirnya. Titanum Nitride ini pula akan membentuk ‘inclusion’ yang akan mencantikkan (refine) struktur manganese steel. Bukan sekadar manganese steel. Titanium Nitride sebenarnya bertindak mencantikkan struktur autenite dalam manganese steel!


Dalam manganese steel, disebabkan kandungan mangan nya tinggi, struktur besinya adalah austenite. Austenite berstruktur FCC (Face centered cubic) di mana nitrogen mampu menembusi struktur FCC bagi manganese. Saya juga terus membuat kesimpulan bahawa Titanium Nitride yang terbentuk itu bukan sahaja berguna untuk Manganese steel, malah juga dalam stainless steel austenitic yang tinggi Nickel dan Manganese. Manganese dan Nickel sama-sama berstruktur FCC dan berupaya membentuk microstruktur Austenite dalam steel atau stainless steel. Tidak berpuas hati dengan kesimpulan sendiri, saya cari lagi dalam internet. Ya, saya telah jumpa kegunaan Titanium dan Nitrogen dalam stainless steel austenite. Mestilah gembira.


Saya cakap kesemua fakta ini kepada technician senior berkenaan. Beliau selalu menggambarkan graduan sebagai tidak tahu apa-apa kerana tiada pengalaman bekerja. Malah saya katakan Metallurgist australia berkenaan bukan ‘bodoh’ tetapi beliau mungkin tidak mampu menjawab soalan mendadak dan terperinci sebegitu. Saya jelaskan Nitrogen bukan sekadar untuk manganese steel tetapi sebutlah Nitrogen dan titanium berguna untuk austenitic steel tak kira manganese atau stainless steel. Bukankah lebih jelas kesimpulannya. Dia pun diam dan perlahan-lahan meninggalkan saya.


Mahasiswa jurutera, jangan gentar bila digertak dengan teori yang belum anda tahu. Cari dan gunakan segenap pengetahuan anda untuk meletakkan diri anda sebenar-benarnya jurutera. Jangan sesekala membiarkan sesiapa memperlekehkan ijazah anda hanya kerana ketidak mampuan kita bersaing dengan pengetahuan sesiapa sahaja. Terutama jurutera Isla yang muda. Ilmu kita untuk misi khas kita..iaitu Hadharah Islamiyyah…..Gunakan masa untuk terus belajar dan terus belajar.

Muhammad Nuruddin

Ipoh Perak

Setiap makhluk Allah adalah lengkap melengkapi.

Setiap makhluk Allah adalah lengkap melengkapi.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Bc Hons Engineering (material) UM

Setiap benda yang diciptakan oleh Allah adalah bertujuan. Setiap perkara yang terjadi pasti memiliki rahsianya samada yang mampu ditaakul oleh akal kita atau pun menjadi rahsia kepada Allah SWT. Malh setiap yang diciptakan oleh Allah saling lengkap melengkapi dan menjadi sebuah system yang lengkap.

Lihat Firman Allah di bawah;

Dan langit itu kami bangun dengan kekuasaan (kami) dan Sesungguhnya kami benar-benar berkuasa. Dan bumi itu kami hamparkan, Maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami). Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.

(Surah Az Zariyat : 47-49)

Jika kita mengkaji nilai satu sel manusia, ia hanya akan bernilai jika dilihat fungsinya. Fungsinya hanya akan terserlah setelah kita menggambarkan ia berada dalam suatu kelompok yang dinamakan organ. Malah organ yang dibentuk melalui satu sel itu juga hanya benar-benar bermanfaat jika ia mampu berfungsi dengan organ yang lain membentuk system dan menghidupkan insane. Inilah bezanya seketul hati lembu di pasar dengan organ manusia yang dijual ribuan ringgit. Fungsinya yang menjadikan ia berharga.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.

( Surah Ali Imran ayat 190-191)

Semasa bekerja sebagai pelatih metallurgist di kilang, saya telah dibawa menjelajah kilang oleh seorang supervisor yang lebih 30 tahun mendalami bidang foundry (perkilangan besi dan aloi). Beliau menerangkan kepada saya tentang satu komponen sahaja dalam jabatan pemasakan besi (Furnace department) iaitu Ladle. Ladle adalah seumpama baldi besi besar yang mampu menampung bhingga 8 tan besi cair. Saya tertanya-tanya bagaimana besi cair yang hanya lebur pada takat 1500 C tidak merosakkan atau melebur dinding ladle yang juga diperbuat daripada besi? Di dalam buku-buku rujukan universiti tidak diterangkan bagaimana.

Selepas saya menjenguk kedalam ladle yang kosong, saya ternampak lapisan batu bata dan selapisan kertas ceramik. Ya, batu telah dijadikan alas (lining) di dalam ladle untuk mengelakkan besi panas merosakkan dinding ladle yang juga diperbuat daripada besi.

Semua mengetahui bahawa logam lebih kuat dan hebat berbanding batu. Tetapi Allah menciptakan sesuatu benda itu berfaedah pada keadaan tertentu, menjadi kerosakan dan kerugian pada keadaan tertentu. Dalam keadaan suhu begitu tinggi, batu bata mampu menahan kepanasan besi cair walaupun sehingga 120 kali diulang pakai! Dalam satu keadaan lain, besi digunakan sebagai tukul untuk memotong bukit, memcah jalan raya dan sebagainya. Inilah keadilan tuhan dan sunnah alam.

Lihat sahaja bagaimana besi dan logam keras seperti titanium hanya boleh dipotong dengan menggunakan intan. Intan adalah pepejal yang keras dan mampu menjadi mata pemotong yang paling kuat. Intan berasal daripada unsur karbon sahaja. Karbon adalah kumpulan bukan logam dalam jadual berkala kimia (periodical table), manakala titanium adalah logam yang bersifat keras dan kuat. Tetapi apabila sebatian grafite terpendam di dalam tanah dan mengalami suhu tinggi, ia bertukar menjadi intan yang cukup keras.

Atas sunnah inilah, manusia juga memiliki peranannya dalam bermasyarakat. Semua insan memiliki tanggungjawab untuk menstabilkan keharmonian dunia. Allah jadikan setiap daripada kita berfungsi dengan baiknya serta memendam potensi unggul dalam diri kita sehinggalah kita menjumpainya dan memancarkan manfaat kepada sesiapa sahaja termasuk kepada musuh kita kadangkala.

Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

( Surah Al Fathir ayat 27-28)

Sindrom anak watan?

Sindrom anak watan?

Ramai bercakap di merata tempat, Melayu adalah bangsa yang manja. Melayu malas dan sebagainya. Terma malas atau manja mungkin disimpulkan melalui pengamatan objektif dan menumpu kepada suatu kelompok sahaja sebagai suatu sampel iaitu bangsa Melayu. Bagaimana pula jika skop objektif itu diperluas hingga ke skop anak watan, bumiputera atau anak tempatan sesebuah Negara? Mungkin ia lebih memaknai kalimah manja dan malas tersebut.

Adakah sindrom malas dan sebagainya tetap akan dialami oleh semua anak watan? Malah ia boleh diterjemah lagi kepada beberapa gejala lain seperti tiada daya saing, lemah, rendah mentaliti dan sebagainya. Pada saya sikap selesa dan tenteram menjadikan jiwa anak watan lebih kepada jiwa 'quo', terlalu pasif untuk menghadapi segala perubahan luar dan dalam kosmo budayanya serta tegar untuk mengekalkan jiwa tenangnya walaupun hakikatnya kemandirian dirinya sendiri tidak terjamin walaupun atas nama anak watan, penduduk tempat atau ketuanan bangsa tertentu.

Melayu atau dalam akronim budaya yang lebih luas iaitu umat Islam, perlu memiliki daya saing untuk terus relevan dalam alam persaingan kini. Terjemahan 'konfrontasi kekal' oleh Adian Husaini dalam bukunya Wajah Peradaban Barat, cukup jelas untuk kita pertimbangkan. Konfrontasi tetap dan dielektik budaya antara barat dan Islam bukan sekadar berpaksikan dialektika geo-politik, sosial politik atau atas nama perbezaan tanah, tetapi ia adalah suatu pertembungan teori nilai, ideologi dan idealisme serta set-set pemikiran dan set-set norma kehidupan. Dalam hal itulah Prof Wan Mohd Nor Wan Daud menyarankan gaya langkah kita dalam bergerak balas dengan ransangan globalisasi dan hambatan sosial ala barat adalah melalui jalan yang positif iaitu medan ilmu dan kepakaran. Umat Islam perlu dipersiapkan dengan nilai ilmu yang cukup serta bernilai 'competetive advantage' atau golongan teras dalam sosial (qaidah sulbah).

Saya melihat sendiri bagaimana pekerja-pekerja kilang di industri tempat saya bertugas, lebih senang bersikap tuan daripada menjadi pekerja yang merangkap pelajar. Konsep bekerja selepas belajar di sekolah atau institusi pendidikan adalah salah kerana bekerja itu adalah suatu alam pembelajaran secara tidak langsung. Pekerja tempatan anak watan lebih suka menjadi pengarah kepada pekerja asing walaupun status mereka adalah sama di kilang-kilang iaitu operator atau pekerja am. Malah disebabkan kerajinan luar biasa warga asing, mereka berjaya mengecapi gaji yang lebih tinggi berbanding anak Melayu sendiri. Anak Melayu marhain lebih suka berbelanja dengan boros serta merancang kehidupan di luar kemampuan mereka. Gaya ranggi dan elitisme menjalar dalam jiwa mereka walaupun pengetahuan dan poket mereka kosong.

Semasa bekerja di lapangan industri kini, saya belajar dengan memerhatikan beberapa pekerja lama yang telah bekerja lebih daripada 20 tahun. Walaupun tanpa sijil yang tinggi, kerajinan dan usaha mereka menguasai tektikal dan teknikal di kilang-kilang menyebabkan mereka menjadi 'sifu' dan pakar rujuk dalam bidang berkenaan. Sekiranya mereka adalah Muslim dan anak Melayu yang berkesedaran , kepakaran mereka itu amatlah bermakna. Mereka akan mengisi Renaissance umat Islam dengan kepakaran yang mereka ada walaupun mungkin tiada sijil di tangan.

Di kilang saya, belum ada lagi jurutera metallurgist berbangsa Melayu. Jawatan itu pernah dipegang oleh beberapa individu daripada Australia dan jurutera berbangsa Cina. Saya merasakan ia suatu peluang baik untuk belajar sesuatu melalui jawatan yang diperolehi. Lantaran itu apabila jalan telah terbuka, sikap agresif untuk mendapat ilmu mula memuncak. Pada saya bangsa asing terutama bangsa-bangsa kulit barat bersedia berkongsi ilmu dengan kita apabila sahaja kita bersungguh untuk menaikkan bidang industri yang kita ceburi. Malah mereka lebih terbuka untuk mewariskan ilmu berbanding warga negara kita sendiri. Jiwa terpencil atau inferiority complex adalah antara penghalang umat Islam terutama yang berbangsa melayu untuk berdaya saing bersama-sama bangsa-bangsa lain sekaligus mengukuhkan teras sosial kita melalui kepakaran yang bakal kita miliki.

Muhammad Nuruddin Bashah

Metallurgist

Prima Metal Sdn Bhd Ipoh

Tanggungjawab sebagai metallurgis....

Mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia pendidikan dan perguruan yang amat diminati adalah satu keputusan besar dan drastik yang telah saya lakukan. Malah risiko ombak ekonomi yang amat tidak keruan dan kurang stabil menambahkan keresahan saya untuk mengambil keputusan menceburi bidang industri dan teknikal selaras dengan bidang pengajian saya di Universiti.

Saya baru diberi pengesahan sebagai pekerja tetap di kilang tempat saya bertugas. Alhamdulillah dalam masa 6 bulan saya telah dinaikkan gred dan posisi saya dalam bidang metallurgi ini. Akan tetapi apabila saya meneliti surat pengesahan berkenaan saya tertanya-tanya kenapa saya masih dikekalkan dengan nama jawatan Trainee Metallurgist? Adakah saya masih pelatih jurutera metallurgist? Akhirnya jabatan sumber manusia kilang memaklumkan kepada saya, di Malaysia jumlah ‘metallurgist’ sebenar hanya beberapa nama sahaja. Metallurgist bermaksud pakar logam, pakar melebur logam dan pakar berkenaan kegagalan aplikasi logam. Mereka maklumkan, saya bukan jurutera seperti rakan-rakan yang lain. Jika jurutera, selepas disahkan kerja, istilah ‘trainee’ akan hilang. Saya kini dianggap metallurgist diperingkat kilang, tetapi di peringkat nasional, saya adalah trainee.

Baru saya faham akan tanggungjawab nama metallurgist. Patutlah, pihak kilang langsung tidak pernah halang saya bertanya itu dan ini. Pergi ke sana kemari belajar apa sahaja di depan saya. Mereka tidak pernah halang saya datang ke setiap ‘area’ orang lain untuk belajar. Pada mereka saya wajib belajar dan terus belajar demi mereka. Tetapi saya gunakan kelebihan ini untuk belajar kerana ‘matlamat’ saya sendiri!

Baru-baru ini ada metallurgist Australia datang untuk membuat sedikit pemantauan berkenaan spesifikasi besi baru yang ingin dimasak. Saya ambil peluang belajar dari beliau. Belaiu adalah konsultan metallurgical di China, India, Singapura dan Australia sendiri. Sepanjang diskusi kami, beliau ada memanggil saya ‘Mr Metallurgist’. Saya diam sahaja. Pada saya memang la aku adalah metallurgist di kilang ini. Rupanya kata-kata beliau adalah satu pujian kerana jawatan sebenar metallurgist hanya dimiliki oleh beberapa sahaja individu. Malah ada beberapa pihak menganggap beliau telah mula menghormati saya yang bakal mengambil tanggungjawabnya mengkaji dan menyelesaikan masalah dalam bidang logam di kilang ini. Betul kata orang, jika kita tidak tahu tentang kerja kita, kita akan kurang menghargai kemampuan dan jawatan kita sendiri.

Apabila berbual sesama jurutera, mereka akan bertanya, Berapa kilang bayar kau?. Berapa bonus engkau dapat? Bila nak naik pangkat? Jarang benar orag bertanya, apa engkau belajar di kilang tu? Adakah mereka beri kursus latihan kepada engkau? Engkau makin pandai atau tidak sejak kerja disitu? Saya impikan soalan sebegini.

Bekerja sebagai metallurgist menghendaki kita pakar tentang logam iaitu salah satu bahan ciptaan Allah. Logam ada seribu satu rahsia. Kenal logam, kita akan kenal kimia. Kenal kimia kita akan kenal paduan fiziknya dengan gerak kimianya. Kenal fizikal akan mengenalkan kita tentang daya tersembunyi iaitu metafizikalnya. Kenal metafizikal maka akan mengenal pencipta logam itu iaitu Allah!

Bagaimana mengaitkan ilmu logam dan jurutera dengan tauhid? Ini tugasan berat bagi setiap saintis dan jurutera! Ini taklifan bukan omongan. Selain belajar dan terus belajar, kerja ini menjadi pentas kuat untuk saya terus aktif dalam lapangan masyaralat, dakwah dan perjuangan.

Berada dalam satu-satu sektor menghendaki kita mengetahui selok belok yang tersendiri. Jika dahulu kita pernah mendidik kanak-kanak di sekolah, kini kita diminta mendidik bapa mereka. Pekerja kilang saya ramai berjudi. Tidak pernah bersolat apatahlagi berpuasa. Juga selalu pergi ke tokong hindu meminta nombor ekor!

Mereka miskin. Susah dengan gaji yang sedikit. Tetapi mereka kaya dengan keinginan untuk kaya cepat. Sedekah adalah amalan dakwah paling efektif di sini. Kita berikan wang 5 ringgit kepada seorang pekerja sehari. Kita pesan “jangan beli nombor ye, bubuh minyak motor je”. Bercakap memang perlu bercakap. Walau sekali, kita wajib bercakap jangan main judi di hadapan mereka. Pernah saya menghantar pekerja (tiada kenderaan) ke bank untuk dia kerja part time di sana sebagai guard. Di dalam kereta beliau ceritakan perihal keluarganya. Kita dapat kesan banyak masalah antaranya adalah agama. Banyak bimbingan ringkas boleh kita berikan. Tidak perlu buka kaunter kaunseling. Saya tawarkan untuk pergi hantar dan ambik beliau dari tempat kerja sampingan. Beliau lebih lagi berterima kasih. Saya kata ‘janji ye, ikut pesan saya tadi…dapat gaji advance, kasi bini beli ikan dulu, baru ambik guna’..Nasihat simple. Tetapi kata mereka, tak pernah orang cakap macam itu kepada mereka. Mereka kata mereka low class. Saya terdiam….

Ada pekerja minta nasihat tentang pelajaran anak dan masadepan. Bagi mereka tanpa duit anak tidak perlu belajar. Di sini peranan jurutera untuk ajar mereka menyusun pengajian anak dengan belanja yang minimum. Gunakan ‘broadband’ yang kita ada tu untuk buka web tentang pengajian tinggi di hadapan mereka. Kebetulsan sepanjang menjadi guru dulu saya mengetahui selok belok sedikit mengenai pendidikan. Ajar mereka cara menyusun pengajian anak. Naikkan semangat agar mereka baiki nasib keturunan mereka. Jangan kira bangsa. Ajar walaupun mereka bukan Islam. Mereka akan lihat mata kita sambil bergenang air mata…..

Ekonomi sedang tidak stabil. Ada menyarankan agar saya berhenti daripada bidang ini. Bagaimana saya dapat berhenti sedangkan 9 jam saya berada di kilang, seribu satu perkara saya belajar? Saya belajar ilmu logam, saya belajar tentang manusia dan saya berkesempatan berdakwah melalui kaedah kebajikan juga.

Bagaimana mendapat motivasi? Individu hizbullah pasti akan dapat motivasinya sendiri. Saya kumpulkan ingatan saya di kampus, sekolah, kolej dan dari usrah-usrah yang saya pernah ikuti. Saya ingat balik apa pesan guru dan naqib-naqib saya. Mereka sudah jauh dari kita. Tetapi sisa ucapan mereka pasti ada di ingatan selagi mana otak kita masih normal. Apa lagi, segarkan kembali ingatan. Dan saya jadikan ucapan mereka sebagai motivasi untuk maju.

Bekerja boleh di mana-mana sahaja. Bekerja dalam bidang sendiri akan mengaktifkan lebih 80% otak kita dan kita akan senantiasa menggilap kemahiran kita kerana ia telah berada dalam diri kita. Jadikan kerja kita sebagai wasilah untuk naik ke satu pentas. Lihat pentas itu berhati-hati. Jangan sebut tentang debu di kilang, pekerja kilang kita kurang ajar, bau busuk pasir di kilang serta bunyi bising. Pandang jauh kepada hadaf dan matlamat hizbullah. Kita akan tenang dan agresif kembali untuk maju. Pada saya…di mana ada sisa hizbullah….di situ boleh dicipta dakwah…..

Sengaja tulis…sebab saya pun tidak tahu nak cerita kepada siapa. Hanya menulis….

Muhammad Nuruddin Bashah

Metallurgist

Prima Metal Group

Ipoh Perak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Engineering Blogger

Template Design | Elque 2007