Anda berminat berdiskusi isu kejuruteraaan? Saya mengalu-alukan sebarang perkongsian ilmu dan pengetahuan atas prinsip saya, belajar hingga ke akhir hayat.
Dahulu bertugas sebagai Metallurgist di sebuah kilang swasta antarabangsa di Ipoh. Pengkhususan tugas dalam bidang 'melting' perleburan keluli dan besi, rawatan haba (heat treatment), failure analysis (kajian kegagalan logam).
Kemudian bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang magnesium smelting, bertanggungjawab dalam pengawalan proses utiliti dalam seksyen boiler (dandang), jet vacuum pump, LPG dan compressed air system.
Kembali ke kilang lama sebagai Moulding Engineer (Head Of Department).....dunia logam dunia kerja saya...
Selepas itu berhijrah ke dunia Elektrokimia sebagai Production Engineer di Yuasa Battery. Masih dalam bidang metalurgi iaitu mendalami tabiat plumbum dan beberapa logam seperti antimoni dan Tin.
Menyediakan laman ini untuk bekalan bahan kajian dan bacaan kejuruteraan logam dalam bahasa melayu. Menjunjung aspirasi kejayaan tamadun negara bangsa melalui penataran bahasa eka, Metalurgis-Melayu akan bekerja ke arah itu. Terdapat mungkin beberapa laopran kerja saya akan diubah bahasa daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Moga ia dimanfaatkan.
TENTU ada sebab kukuh sehingga Datuk Seri Najib Razak mahu usaha dipertingkatkan lagi bagi membawa pulang golongan bijak pandai Malaysia yang berada di luar negara terutama dalam bidang sains dan teknologi (S&T) ketika berucap pada Majlis Anugerah Sains Mahathir pada 27 September 2009.
Menurut Perdana Menteri, setakat ini kita masih gagal menepati sasaran bilangan penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) secukupnya sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sasaran adalah 60 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
Ketika ini, hanya 18 RSE mampu dihasilkan dalam RMK-9. Najib mahu supaya langkah lebih drastik dilakukan. Katanya, antara kaedah terbaik untuk meningkatkan RSE adalah membawa mereka menetap di luar, kembali ke tanah air dengan menyediakan insentif menarik. Bagi Najib, RSE ialah isu besar yang perlu ditangani segera dengan ‘apa saja yang perlu’ bagi membina pangkalan penyelidikan dan pembangunan serta kumpulan berbakat dalam pelbagai cabang sains.
Hal ini begitu kritikal dalam persekitaran baru kerana peranan S&T dan inovasi lebih menyerlah sebagai pemacu perkembangan ekonomi bagi bersaing dengan negara seperti Korea Selatan, Singapura, Jepun, India dan China. Menurut Prof Richard Vietor dari Universiti Harvard, ketika ini Malaysia tersepit antara dua model pertumbuhan ekonomi, iaitu ekonomi berteraskan buruh murah berkepakaran rendah; dengan ekonomi nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi.
China, India dan Brazil menggunakan model buruh murah dan kepakaran rendah khususnya sektor pengeluaran. Daya saing mereka terletak kepada kos murah menggunakan teknologi serta pelaburan asing. Malaysia tidak lagi berada dalam kelompok ini. Selain kos buruh semakin meningkat, rakyat Malaysia juga sudah tidak lagi berminat dan produktif menjadi buruh dengan bayaran murah.
Mahu tidak mahu, Malaysia terpaksa bersaing untuk memajukan model ekonomi nilai tinggi menerusi kreativiti dan inovasi seperti yang berjaya dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS), Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Di sinilah perlunya pembabitan ramai saintis dan jurutera untuk memajukan inovasi dan teknologi baru.
Hakikatnya jumlah 18 RSE tidak mencukupi untuk membolehkan Malaysia berdaya saing dengan negara berkenaan. Itulah rasional gesaan Najib supaya usaha lebih giat dilakukan agar pelaksanaan model ekonomi baru itu dapat disegerakan. Dalam hal ini, sekurang-kurang dua pendekatan utama boleh dilaksanakan.
Pertama, pendekatan meningkatkan jumlah RSE di kalangan rakyat tempatan. Pada hemat saya, kaedah ini lebih mudah dan murah membangunkan kepakaran dan kemahiran sains dan teknologi menggunakan sistem dan sumber sedia ada, khususnya menerusi universiti tempatan atau agensi penyelidikan. Faktor kejayaan utama (CSF) ialah dana penyelidikan dan skim perkhidmatan S&T yang menarik.
Menerusi pendekatan ini universiti dan agensi penyelidikan tempatan perlu berganding bahu menyediakan skim latihan lebih terancang sehingga peringkat ijazah kedoktoran. Perlu juga diberi perhatian bahawa peranan universiti tidak merangkumi seluruh rantai nilai dalam penjanaan kreativiti dan inovasi sehingga dapat menjana kekayaan.
Selepas atau ketika mengikuti pengajian peringkat lanjutan, mahasiswa perlu didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan dengan inovasi dan peluang mengembangkan lagi aspek kebolehpasaran sesuatu idea, inovasi atau harta intelek. Kebolehpasaran itu tidak bermakna mereka perlu menjadi usahawan.
Realitinya termasuk di negara maju seperti AS, peranan ahli sains dan jurutera fokus kepada bidang S&T seperti dilakukan dalam projek penyelidikan peringkat kedoktoran yang relevan dengan perkembangan terkini dalam sesuatu disiplin.
Kemudian hasil penyelidikan itu disalurkan kepada kumpulan lain yang mengkhusus kepada penjanaan modal, pengeluaran skala besar, pemasaran dan pelan perniagaan. Pada hemat saya masih ramai beranggapan, termasuk di kalangan pembuat dasar, bahawa ahli sains dan jurutera juga perlu dipertanggungjawabkan mengenai seluruh komponen rantaian nilai termasuk aspek perniagaan dan pelaburan. Kalau mampu silakan. Tetapi realitinya hanya segelintir boleh berbuat demikian.
Pendekatan kedua ialah mendapatkan kepakaran luar seperti dilakukan Singapura, Australia dan AS. Ketika ini, hangat dibincangkan isu pengaliran keluar imigran warga AS (pemegang pasport kategori H-1B) ke negara asal masing-masing. Mereka banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi inovasi sejak lebih 20 tahun lalu.
Masalah birokrasi AS sehingga melewatkan proses kelulusan sebagai penduduk tetap membabitkan lebih sejuta jurutera, saintis, penyelidik dan doktor pada 2006 saja. Visa yang dikeluarkan setahun hanya 120,000 saja. Hal ini menyebabkan pakar dalam pelbagai bidang berkenaan pulang ke negara masing-masing khususnya India dan China.
Dari segi statistik, jumlah imigran baru khusus dari Asia adalah 12 penduduk AS. Mereka memulakan 52 peratus syarikat berteraskan teknologi di Lembah Silikon dan menghasilkan lebih 25 peratus daripada harta intelek (paten) dunia.
Mereka juga merangkumi 24 peratus tenaga kerja dalam bidang S&T dan 47 peratus pekerja berkelayakan PhD di AS. Mereka memulakan syarikat gergasi seperti Google, Intel, eBay, dan Yahoo!
Persoalannya apakah kita bersedia untuk ‘menangguk’ limpahan tenaga pakar itu untuk menjadikan Malaysia negara tempat mereka mencurah jasa kepada pertumbuhan ekonomi berteraskan inovasi dan kreativiti?
Catatan : // Rencana yang pernah tersiar di Berita Harian pada 2 Oktober 2009
Perang adalah satu aktiviti kejam yang dilakukan oleh manusia sejak zaman berzaman. Malah matlamat mematikan musuh dan memusnahkan populasi lawan adalah satu sasaran yang dikejar serta menatijahkan sindom mechiavelli yang cukup dahsyat. Senjata biologi adalah antara metod perang yang dicipta manusia selari dengan penemuan dan peningkatan ilmu biologi dan mikroorganisma. Lantaran ianya senyap, berkesan serta mampu memusnahkan musuh dalam jumlah dan skala yang amat besar, ia dipilih sebagai salah satu kaedah negara tertentu untuk merealisasikan impian masing-masing.
Sejak serangan WTC pada 11 September 2001, kesedaran terhadap kemungkinan berlakunya ancaman senjata biologi dan kimia mulai diperkatakan semula. Jangkaan blok AS-NATO yang mendakwa pihak pengganas kini kian bijak mencipta dan bertindak mempelbagaikan teknik serangan mereka semakin menebal selepas beberapa siri serangan antraks di Amerika berlaku rentetan selepas 9/11.
Wabak influenza A (H1N1) tidak terkecuali daripada menjadi perbincangan saintis tentang kesahihan ianya sebagai salah satu metod perang biologi. Virus yang mencipta gelombang pertama pada April tahun lalu dan kembali menyerang semula awal 2010 ini dikatakan sengaja dicipta oleh kuasa besar untuk mengalih perhatian masyarakat dunia dari polemik antarabangsa lain yang lebih penting. Malah, tidak kurang pula yang mendakwa kewujudan virus ini adalah untuk mengagung-agungkan negara yang berjaya mencipta vaksin untuknya walaupun pada masa yang sama, besar kemungkinan negara tersebut juga yang menciptavirus tersebut. Namun begitu kesahihan isu ini masih belum dibuktikan dan masih dalam tahap spekulasi.
Secara umumnya, senjata biologi (biological weapon) adalah teknik persenjataan yang menggunakan mikroorganisma seperti bakteria, virus dan kulat yang dapat bertindak sebagai patogen kepada manusia mahupun hidupan yang lain. Selain contoh organisma seni ini, toksin iaitu sebatian beracun yang boleh dihasilkan oleh sesetengah organism juga turut dikategorikan dalam kumpulan senjata biologi.
Persamaan yang jelas antara toksin yang diletakkan dalam kumpulan senjata biologi dan senjata kimia adalah kedua-duanya terikat dengan keperluan Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin (Biological and Toxin Weapons Convention) dan Konvensyen Senjata Kimia (Chemical Weapons Convention). Persenjataan biologi (biological warfare) atau persenjataan kuman (germ warfare) pula adalah istilah penting yang digunapakai bagi menggambarkan teknik perang yang menggunakan senjata biologi.
Misalnya negara Israel yang kian mengganas hari ini juga tidak menandatangani Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin (Biological and Toxin Weapons Convention- BWC). Menurut laman sesawang Wikipedia, terdapat spekulasi bahawa program senjata biologi Israel mungkin terdapat di Institut Penyelidikan Biologi Israel (Israel Institute of Biological Research-IIBR) di Ness Ziona.
Secara realitinya masyarakat antarabangsa telah melaksanakan beberapa aturan kawalan eksport senjata, seperti Konvensyen Senjata Kimia (CWC), Konvensyen Biologi dan Toksin (BWC) dan Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata (NPT). Perjanjian ini mendapat sokongan meluas. Namun, seperti yang kita lihat sendiri, perjanjian tersebut tidak berupaya menghalang penularan keganasan melalui senjata WMD mahupun senjata biologi.
Penggunaan agen biologi sebagai senjata memusnahkan musuh bukanlah sesuatu yang baru. Menelusuri sejarah, percubaan untuk menggunakan senjata biologi telah bermula sejak 300 SM dahulu lagi apabila karya sastera Parsi, Greek dan Roman pernah merekodkan tentang bangkai haiwan yang dimasukkan ke dalam sumber air musuh mereka.
Semasa Perang Perancis dan British pada kurun ke 18, tentera British di bawah pimpinan Jeffrey Amherst pula telah mengedar selimut yang telah dicemari dengan virus cacar (smallpox) kepada penduduk asli Amerika dalam usaha British menakluk kawasan Amerika Utara yang asalnya diduduki kaum Red Indian. Amatmalang sekali apabila pemberian ini bukanlah suatu nikmat sebaliknya bala besar buatkaum asli di Amerika ini.
‘The Black Death’ berlaku antara tahun 1347 hingga 1350 telah menyebabkan kematian lebih satu pertiga penduduk Eropah. Puncanya adalah penularan penyakit berjangkit dari mayat yang telah membusuk yang digunakan oleh tentera Mongolia untuk mengusir pedagang bangsa Genoa di Laut Hitam dalam tempoh tersebut.
Perang Dunia Pertama dan Kedua menjadi medan untuk negara-negara yang terlibat menunjukkan kehandalan mereka mencipta dan mengaplikasikan senjata biologi secara berleluasa. Lebih buruk lagi apabila diyakini bahawa bilangan tentera yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua banyaknya yang berpunca daripada penyakit berbanding luka akibat perang. Jika diamati dengan teliti, beberapa filem luar negara yang berunsurkan kisah perang banyak menyelitkan teknik-teknik persenjataan biologi yang digunakan pihak tentera.
Dalam Perang Dunia Pertama, tentera Jerman menjangkitkan haiwan-haiwan ternakan yang diimport oleh tentera bersekutu dengan bakteria antraks.
Era Perang Dunia Kedua pula telah menyaksikan ‘kegilaan‘ para saintis dari negara matahari terbit melakukan pelbagai ujikaji ke atas manusia secara hidup-hidup. Beberapa pusat kajian yang dikenali sebagai unit diwujudkan secara rahsia dan berselindung dengan nama lain untuk mengaburi mata masyarakat setempat. Unit 731 yang terletak di wilayah Harbin, Manchuria misalnya adalah pusat penyelidikan senjata biologi Jepun yang paling terkenal hinggakan Jeneral Shiiro Ishii yang bertanggungjawab ke atas unit ini turut diangkat sebagai ‘Bapa Senjata Biologi’.
Di sini, lebih 3000 mangsa sengaja didedahkan kepada sumber jangkitan penyakit seperti sifilis, antraks dan beberapa agen biologi lain. Tindakan tidak berasas ini tidak terhenti di sini keranaautopsi atau pemeriksaan lanjutan seperti pembedahan secara hidup ke atas mangsa ujikaji juga dijalankan. Tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk mengetahui kesan langsung yang berlaku pada organ dalaman mangsa seterusnya ‘menambahbaik’ ujian mereka agar boleh digunakan ke atas musuh perang. Ujikaji ini akan diulang beberapa kali sehingga mencapai tahap kepuasan yang diinginkan.
Pada tahun 1942, Amerika Syarikat menubuhkan Unit Penyelidikan Perang yang mana antraks dan toksin botulinum dikaji sebagai agen yang berpotensi digunakan sebagai senjata perang. Hasilnya, pada Jun 1944, kedua-dua bahan ini dikumpulkan dalam kuantiti yang secukupnya sebagai persiapan balas sekiranya pihak tentera Jerman mula menggunakan agen biologi dalam peperangan menentang Amerika Syarikat. Pulau Gruinard yang terletak di negara Scotland dalam tahun 1942 dan 1943 telah menjadi tempat untuk ujian bom antraks.
Amerika Syarikat meneruskan lagi kajian mereka antara tahun 1950 hingga 1960. Kelemahan dan kurangnya kesedaran tindak balas warga Amerika Syarikat terhadap serangan agen biologi ditunjukkan apabila antara tahun 1951 hingga 1954, beberapa jenis organisma kurang merbahaya sengaja dibebaskan di kedua-duapesisiran pantai Amerika Syarikat. Pada tahun 1966, kelemahan ini diuji sekali lagi apabila bahan ujian dilepaskan di dalam terowong perhubungan awam di bandar New York.
Ketika Perang Vietnam, gerila Viet Cong menggunakan bilah buluh yang direndam di dalam najis untuk menimbulkan jangkitanyang lebih teruk pada luka tentera musuh yang terkena tikaman buluh tersebut. Pada tahun 1979 pula, secara tidak sengaja bakteria antraks terlepas dari pusat senjata di Sverdlovsk, Rusia. Dalam tragedi ini, sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh. Walau bagaimanapun, kerajaan Rusia mendakwa semua kematian ini berpunca daripada daging yang tercemar sehinggalah pada tahun 1992, Presiden Rusia pada masa tersebut, Boris Yeltsin membuka mulut mengenai punca sebenar yang berlaku.
Kaedah penghasilan yang senang, mudah disembunyikan serta tempoh masa pengeraman yang boleh dijangka adalah antara sebab utama senjata biologi menjadi pilihan untuk menghapuskan musuh di dalam perang. Kewujudan mikroorganisma penyebar penyakit yang sukar dikenalpasti melalui mata kasar memudahkan lagi proses perpindahan penyakit sesama manusia.
Agen biologi bukan sekadar diaplikasikan untuk menghapuskan manusia secara terpencil (isolated assassination) tetapi turut terlibat sebagai agen utama yang dapat membunuh dalam skala yang lebih besar hingga mencecah ribuan kematian dalam satu tempoh masa yang singkat. Situasi ini terjadi apabila agen biologi yang digunakan turut mencemarkan persekitaran tempat tinggal menyebabkan kontaminasi berlaku dalam jangka masa panjang dan memberi ancaman kepada populasi manusia yang tinggal di kawasan tersebut.
Menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC-USA), terdapat tiga pengkelasan senjata biologi, bergantung kepada keseriusan penyebaran penyakit dan tahap kematian yang terlibat. Agen dalam kategori A adalah yang paling merbahaya kepada orang awam dan keselamatan negara manakala kategori C merangkumi agen yang berpotensi untuk dibiakkan secara meluas pada masa akan datang.
Kategori A (antraks, toksin botulinum dan cacar) dicirikan dengan sifat yang mudah tersebar atau dipindahkan dari manusia ke manusia yang lain, mampu menimbulkan kepanikan dalam masyarakat dan boleh mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi. Agen biologi yang tergolong dalam kategori B ialah risin, mikotoksin (toksin yang dihasilkan oleh kulat) dan bakteria Staphylococcus yang mempunyai tahap penyebaran sederhana dan mampu mengakibatkan kadar kematian yang rendah. Ketegori C mudah didapati serta berpotensi memberi impak kesihatan atau kematian yang major.
Protokol Geneva 1925 telah ditandatangi oleh 108 buah negara. Perjanjian ini adalah yang pertama melibatkan banyak negara dalam usaha mengekang penggunaan agen biologi dan agen kimia secara berleluasa. Walau bagaimanapun, piawaian perjanjian ini tidak diterangkan dengan jelas menyebabkan negara terlibat kurang mengambil berat tentangnya.
Jelas, keilmuan sains yang kian bercambah juga turut menghakis nilai perikemanusiaan serta etika dalam peperangan. Tambahan pula, ahli sains dan jurutera selalunya dimanipulasi dan menjadi mangsa ekspolitasi yang teruk oleh negara yang berperang demi memenuhi kehendak ketua negara iaitu kemenangan melalui pemusnahan musuh.
-
Di Indonesia, kerusakan logam akibat proses korosi merupakan topik utama di
aplikasi Industri dan Infrastruktur kemaritiman tropis Indonesia. Pusat
Penelit...
Domino Ceme Online
-
Permainan domino ceme online adalah beberapa dari permainan judi kartu yang
memakai domino untuk menjalankannya, serta permainan judi ceme online ini
saat ...
Getting Ahead in the Oil and Gas Industry
-
Image via Wikipedia The increased demand and the limited supply of both
these fuels means the oil and gas industry has many difficult challenges
ahead in...
Selamat tahun baru 1432H dan 2011
-
Assalamu'alaikum,selamat menyambut tahun baru hijriah 1432H dan tahun 2011
(sekalipun Safar 1432H menjengah),pastinya akan tersingkap kalender baru
dalam ...
Kejayaan Kursus Latihan Mikotoksin di Malaysia
-
*Kejayaan Kursus Latihan Mikotoksin di Malaysia*
Program interaktif iaitu kursus latihan mikotoksin (Mikotoksin Training
Course) yang julung kali diadaka...
Salam dari alam analisis kegagalan
-
Perkenalan dari alam forensic engineering.
Tahniah untuk http://metalurgis-melayu.blogspot.com/
Ilham blog ini juga daripada beliau setelah mengenali beliau ...
Portable Hardness Measurement
-
Hardness is the property of a material that enables it to resist plastic
deformation. However, the term hardness may also refer to resistance to
bending, s...
Failure Analysis-Q10
-
Slide 4
Slide 4
What are objectives of failure analysis and explain how it can be implemented
?
There are 3 primary objectives;
i)
The first objective...
Recognizing Gear Failures
-
An article by P. Davoli and K. Michaelis entitled "Recognizing gear
failures" with 14 photographs appeared in the June 21, 2007 issue of
Machine Design mag...