Dahulu bertugas sebagai Metallurgist di sebuah kilang swasta antarabangsa di Ipoh. Pengkhususan tugas dalam bidang 'melting' perleburan keluli dan besi, rawatan haba (heat treatment), failure analysis (kajian kegagalan logam).

Kemudian bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang magnesium smelting, bertanggungjawab dalam pengawalan proses utiliti dalam seksyen boiler (dandang),
jet vacuum pump, LPG dan compressed air system.

Kembali ke kilang lama sebagai Moulding Engineer (Head Of Department).....dunia logam dunia kerja saya...

Selepas itu berhijrah ke dunia Elektrokimia sebagai Production Engineer di Yuasa Battery. Masih dalam bidang metalurgi iaitu mendalami tabiat plumbum dan beberapa logam seperti antimoni dan Tin.

Menyediakan laman ini untuk bekalan bahan kajian dan bacaan kejuruteraan logam dalam bahasa melayu. Menjunjung aspirasi kejayaan tamadun negara bangsa melalui penataran bahasa eka, Metalurgis-Melayu akan bekerja ke arah itu. Terdapat mungkin beberapa laopran kerja saya akan diubah bahasa daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Moga ia dimanfaatkan.

Saturday, July 10, 2010

Barat dan Fenomena penolakan dogmatik darwinisme

Disiar oleh Majalah Dewan Kosmik Julai 2010

Barat dan Fenomena penolakan dogmatik darwinisme

Muhammad Nuruddin Bashah

Bc Hons Engineering (Material) UM

Wardah Abdul Rahman

Ms Sc (Biology) USM

Bersempena dengan Sambutan 100 Tahun penubuhan, Institut Muzium Smithsonian, Amerika Syarikat baru-baru ini telah menganjurkan pameran fosil dan artifak berkaitan prasejarah manusia sejak 6 juta tahun dahulu. Sebuah dewan asal-usul manusia yang menelan belanja RM 69.2 juta didirikan untuk tatapan peminat sejarah. Paling menarik apabila turut diadakan pertunjukan video seekor udang yang bermain-main berdekatan kamera bawah tanah yang terletak di bawah sebuah lembar ais besar di Antartik.

Sebelum itu ramai saintis percaya bahawa hanya beberapa mikroorganisma sahaja yang mampu hidup di kawasan tersebut dalam keadaan tanpa cahaya matahari serta kedalaman 182 meter di bawah paras ais.

Terdapat juga pameran dua tengkorak yang telah ditemui seabad lalu yang merupakan tengkorak zaman batu dan Cro-Magnon. Rick Potts yang menjadi jurucakap kepada pengunjung muzium berkenaan menyatakan bahawa susur galur evolusi manusia yang dikatakan berasal dari haiwan adalah tidak benar. Tamadun manusia dinyatakan sebagai sebahagian daripada pelbagai spesis yang wujud sejak jutaan tahun dahulu.

Terlalu banyak web dan kelompok pemikir barat yang menolak teori Darwin malah berusaha mencabutnya daripada korpus khazanah pendidikan sains dunia masa kini. Kelompok yang menggelar mereka sebagai golongan ‘pencipta’ atau ‘creationist’ ini adalah penganut Kristian yang kuat serta mempromosi kepercayaan kepada kehebatan ciptaan Allah di mana kepercayaan ini bercanggah dengan sekularism Darwin.

Di Belgium pada hari ini, kebanyakan tenaga pendidik dan ahli akademik biologi mula menolak untuk mengajar atau menghebahkan teori evolusi lagi.

Menurut laman sesawang (http://defeatofdarwinism.com), Barat kini mulai menjulang teori creationist, malah beberapa pemimpin Eropah seperti Sarkozy (Presiden Perancis) mulai memberi perhatian kepada perlunya kembali kepada teori asas ciptaan manusia menurut agama. Malah edaran buku ‘The Atlas of Creation’ amat menggalakkan dan ada usaha untuk memberikan buku tersebut secara percuma.

Ulama terkenal Harun Yahya pernah berkata, “Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia melayari lautan dengan binaan kapal yang bagus? Atau pernahkah anda mendengar manusia yang digelar sebagai 'orang gua primitif' memiliki kemahiran artistik dan pemahaman sebagaimana yang dipunyai oleh artis moden? Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup sejak 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai 'manusia beruk', juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal? Dalam segala kemungkinan anda mungkin tidak pernah mendengar fakta-fakta berkenaan. Sebaliknya, anda telah diberi tafsiran salah bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mempu berdiri lurus, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kebanyakan orang seperti anda telah dihujani oleh keseluruhan penipuan ini”.

Celal Sengor pernah menyuarakan pendapatnya berkenaan kesusahan menjadi seorang manusia dalam kolum majalah Cumhuriyet Bilim pada 26 Jun 2009. Menerusi tulisannya, Sengor mengatakan ‘penipuan’ adalah titik mula bagi penemuan dan penciptaan baru yang hebat. Manakala hasil saintifik yang penting pula sebenarnya dicipta sebagai satu keputusan kepada ‘penipuan’ tersebut. Akhir tulisannya, Sengor merumuskan bahawa seorang manusia pasti mengiyakan sesuatu yang salah sebagai betul dan memberi ekspresi kepada pegangan tersebut. Malah, tegasnya lagi, adalah mustahil untuk menjadi seorang manusia tanpa 2 sikap dogmatik tersebut.

Walaupun Sengor pada asalnya adalah pengikut falsafah logik yang salah, satu pendapatnya yang betul dan boleh diterima ialah apabila beliau merujuk kepada fahaman Darwinism sebagai bukti rumusannya tentang sikap manusia. Menurut Sengor lagi, teori Darwin adalah suatu penipuan atau pengembaraan intelektual yang dilakukan dalam abad ke-19, satu abad yang diketahui penuh dengan sikap ‘menurut membabi buta’ serta tidak mengambil berat pada sesuatu teori baru yang dikemukakan. Tiada usaha pengabsahan ilmu dilakukan secara aktif terutama di kalangan negara yang terjajah termasuk dunia Islam. Tidak mustahil juga pada masa tersebut, kajian susulan atau tindakan mencari bukti kepada teori tidak langsung dilakukan sepertimana zaman sekarang.

Menurut laman sesawang Darwinism-Watch, semasa Darwin mengutarakan bahawa beliau menjumpai satu teori biologi yang saintifik, dalam masa yang sama saintis pada zaman itu masih belum berupaya meneliti bentuk sel dengan jelas. Ini menjelaskan bahawa teknologi masih rendah pada zamannya untuk mengesahkan sebarang bantahan terhadap teori evolusi darwin sehinggakan ada ahli akademik barat menyatakan apa yang berlaku sebenarnya hanyalah beliau sekadar berlayar dengan menaiki kapal besar, bersuka ria dan minum bersama kelasi kapalnya serta hanya mengutip sampel serangga di pulau yang sempat beliau lawati secara suka-suka tanpa tujuan.

Seperti yang Darwin sendiri nyatakan dalam biografi karyanya The Origin of Species (1859), beliau langsung tidak berminat terhadap serangga yang dikumpulnya bahkan sekadar bukti bahawa beliau pernah mengunjungi banyak pulau dan tempat indah serata dunia.

Dalam surat yang ditulis Darwin, beliau kerap kali mengatakan pernyataan teorinya dilakukan hanya kerana semangat pengembaraan (spirit of that adventure), bukan sesuatu yang rasional dan beliau hampir bertindak membunuh diri disebabkan pernyataan tersebut. Darwin langsung tidak peka tentang ciri sebenar sel serta Hukum Genetik. Ketika Darwin masih berteka-teki tentang kaedah pewarisan (heredity) ciri dari induk kepada anak, Gregor Mendel, seorang ahli biologi dan paderi Austria pula sudah mula membuat kajian terperinci dengan hanya menggunakan pokok kacang selama 8 tahun (1857-1865). Darwin hanya mampu menyoal dirinya, bagaimana sesetengah ciri boleh diwariskan tetapi sesetengah yang lain tidak boleh serta bagaimana ciri-ciri pada kedua induk boleh hadir serentak dalam anak, adakah ciri tersebut bersaing atau bergabung?. Beliau tiada inisiatif langsung untuk mengkaji malah tidak sedar akan kejayaan kajian Mendel yang sedang membuktikan kepalsuan pernyataannya dalam bahagian pemilihan semula jadi (natural selection). Mendel yang sabar bekerja dengan hampir 30 000 pokok kacang Pisum sativum dan melebihi 8 generasi pokok akhinya berjaya menemui kata kunci kepada permasalahan Darwin iaitu ‘gen‘ walaupun terminologi ini sebenarnya hanya diperkenalkan 16 tahun selepas kematian paderi tersebut.

Hukum Genetik yang dipelopori oleh eksperimen Mendel telah membuktikan bahawa;

  1. Pewarisan ditentukan oleh ‘unit‘ atau ‘faktor‘ yang diperturunkan dari generasi ke generasi tanpa berlaku apa-apa perubahan (unit ini kini dikenali sebagai gen).
  2. Seorang individu mewarisi satu unit dari setiap induk bagi setiap kumpulan ciri.
  3. Sesuatu ciri boleh juga tidak ditonjolkan pada anak tetapi masih diperturunkan kepada generasi anak tersebut.

Sel pada pandangan Darwin adalah seperti sebiji belon yang penuh dengan air. Hasilnya, tanpa rasa serba salah, Darwin dengan yakin mengatakan sel terjadi dengan sendirinya dan ciri-ciri pada kedua induk boleh dicampuradukkan dan diperturunkan kepada generasi-generasi seterusnya. Beliau lupa bagaimana pula ciri mutasi pada induk boleh kekal pada anak seandainya tanggapan percampuran ciri induk boleh berlaku. Sepatutnya mengikut pendapat Darwin, ciri mutasi tersebut akan tenggelam bersama ciri-ciri yang lain. Berdasarkan pendapat yang salah ini, Darwin seterusnya membuat satu penipuan bahawa hidupan bertukar dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain tanpa wujudnya fosil yang boleh menunjukkan adanya suatu transisi antara keadaan tersebut.

Teori Darwin bukan sahaja mencengkam disiplin kajian sains malah ia juga merupakan satu ideologi manusia malah ideologi ini pernah beraksi dalam Perang Dunia ke-2. Stalin dan Hitler juga percayakan teori persaingan kelas sebagai asas pengurusan dunia. Malah Darwinism satu penipuan atheis pengecualian dalam politik untuk mengutamakan matlamat berbanding cara serta menjadi dasar kepada golongan Konservatif Amerika. (http://atheism.about.com).

Persoalannya, mengapa dunia menelan bulat-bulat teori ini tanpa dipersoalkan? Adakah ada suatu kuasa politik atau diktator yang menaungi ideologi ini atau ia menjadi paranoid kepada golongan cendiakawan asia yang masih inferior dengan peradaban barat yang penuh dengan pendustaan ini. Menurut W. Daniel Hillis (1995) seorang saintis komputer, terdapat satu sekolah pemikiran di kalangan saintis dunia untuk tidak membincangkan kepincangan teori evolusi secara terbuka.

Mengutip dari kata pengantar Darwin di On The Origin of Species,

After five years’ work I allowed myself to speculate on the subject, and drew up some short notes; these I enlarged in 1844 into a sketch of the conclusions, which then seemed to me probable: from that period to the present day I have steadily pursued the same object

Jadi, kerana sifatnya yang bersifat spekulasi, Darwin sendiri merasa bahawa teorinya masih jauh dari sempurna. Oleh karena itu dia menyertakan Bab VI di bukunya, yang diberi subjudul Difficulties on Theory (Kesukaran dan rintangan dalam teori). Ia sendiri mengakui bahwa terdapat kesulitan yang menghambat Teori Evolusi rancangannya dari “menggambarkan keadaan alam yang sebenarnya”.

Penulis bersama:

Muhammad Nuruddin Bashah

Wardah Abdul Rahman

Perlindungan Katod untuk perlindungan keluli kapal.

Disiar dalam majalah Dewan Kosmik Julai 2010

Perlindungan Katod untuk perlindungan keluli kapal.

Kapal adalah pengankutan klasik yang kekal hingga hari ini sama ada dibina menggunakan kayu, fiber atau keluli. Kakisan atau karat adalah musuh utama bagi kejuruteraan pembinaan kapal malah baik dari aspek penyelesaian penggantian penggunaan besi tempa yang berkarbon tinggi kepada keluli tahan karat dan besi karbon biasa perlitik, ataupun perlindungan karatan melalui pelbagai teknik lain.

Persoalan yang bermain diminta jurutera kapal untuk menetukan jenis perlindungan yang sesuai antaranya ialah apakah bentuk metod pelrindungan yang sesuai. Apakah metos yang paling menjimatkan pengeluar serta efisyen untuk kegunaan jangka panjang? JIka pengecatan diperlukan, apakah jenis cat, gred dan piawaian cat yang ingin digunakan? Jika menggunakan perlindungan jenis anod terkorban, berapa banyakkah anod yang ingin dipasang dan apakah bahan yang paling optimum digunakan.

Kakisan adalah satu gejala pengurangan gred sesuatu bahan secara semulajadi sama ada dengan faktor sekitar atau faktor teknikal yang disebabkan oleh manusia. Salah satu contoh kakisan yang utama di dalam dunia adalah karatan. Selaunya dalam kejuruteraan kakisan, istilah kakisan (corrosion) selalunya disamaertikan dengan karatan (rusting). Jadi dalam makalah ini istilah kakisan akan merujuk kepada karat sepertimana tanggapan umum. Kakisan adalah satu proses elektrokimia yang melibatkan arus elektrik sama ada dalam skala yang besar mahupun mikro. Perubahan logam apabila karat adalah melibatkan proses anodik iaitu proses pengurangan gred bahan yang tulen dan elok kepada bentuk bergred rendah iaitu logam karat melalui persamaan umum di bawah;

M → M+ + e-

Fe → Fe2+ + 2e-

Proses ini menghasilkan elektron bebas yang keluar darioada komposisi logam menuju ke permukaan logam yang menerima proses katodik. Jika ada dua logam yang didekatkan, kakisan hanya berlaku pada logam yang memiliki ciri elektronegatifan tinggi di mana logam tersebut lebih reaktif dan mudah mengeluarkan elektron. Katod pula adalah loga yang lebih stabil kerana menerima elektron daripada logam anod, dan ia telah terselamat daripada kakisan.

Daripada teori umum inilah muncul satu kaedah mengelakkan kakisan melalui perlindungan katodik iaitu menjadikan mana-mana bahagian yang ingin diselamatkan sebagai katod. Jika dalam sistem marin tentulah bahagian badan kapal akan diutamakan untuk diselamatkan daripada kakisan air laut. Maka bahagian ini perlu dijelmakan menjadi katod manakala bahagian tertentu pula dijadikan anod. Untuk mengelakkan seluruh bahagian kapal menajdi mangsa karat, maka anod diambil daripada bahan tambahan yang dipasang pada badan kapal untuk dikorbankan menjadi karat. Anod selalunya dipilih daripada bahan zink dan magnesium kerana lebih reaktif berbanding keluli kapal yang selalnya memiliki spesifikasi besi karbon biasa pearlitik dengan sedikit bahagian dengan besi tahan karat austenitik. Anod yang dipasang itu akan menderma elektron kepada badan kapal untuk menjadikan badan kapal, malah seluruh struktur kapal sebagai katod.

Pertama kali teknik perlindungan katod digunakan adalah pada sekitar tahun 1820an oleh Sir Humphrey Davy . Davy mengkaji bagaimana cara untuk menyelamatkan kuprum daripada karat. Apabila disambungkan dawai dengan zink yang lebih reaktif daripada kuprum ternyata kuprum tidak terkarat. Maka terciptalah sistem selamatkan logam iaitu perlindungan katod.

Pada 1936 Pertubuhan Perlindungan Katod Benua Tengah telah dibentuk untuk membincang dan memperhalusi teknik perlindungan katod ini. Pertubuhan ini kemudiannya menjadi ‘National Association of Corrosion Engineers’. Pada 1939 pula teknik ini digunakan untuk menyelamatkan paip-paip gas dan minyak di Bahrain.

Kerugian negara maju seperti Amerika Syarikat akibat karat dalam bidang perkapalan dan marin adalah dianggarkan sebanyak $2.7 billion setahun .Kos penyelenggaran dan pembaiki semula dianggarkan $0.8 billion setahun da jumlah ini kian bertambah dari tahun ke tahun.

Pembangunan pesat dalam sistem perlindungan katod ini dilakukan oleh pihak Amerika Syarikat untuk menyelamatkan pelantar minyak, sistem perpaipan serta dinding kapal. Menjelang perang dunia kedua, Amerika banyak mengaplikasikan sistem ini untuk memastikan keselamatan tentera marinnya. Kini piawaian yang digunakan untuk sistem perlindungan katod sebgai contoh adalah piawaian BS 7361 Bahagian 1 1991 'Perlindungan Katod bahagian 1 – Kod untuk aplikasi tanah dan marin' Institut Piawaian British, U.K.

Terdapat dua kaedah untuk menyelamatkan badan kapal melalui perlindungan katod ini iaitu melalui impressed current chatodic protection (ICCP) atau melalui kaedah sacrificial anodes atau pun anod terkorban melalui prinsip galvani.

Teknik ICCP

Sumber tenaga elektrik DC (arus terus) digunakan untuk mengeluarkan elektron. Hal ini mengantikan peranan anod untuk menderma elektron kepada bahagian yang ingin kita lindungi. Sumber elektrik tersebut akan disambung dengan menghubungkan katodnya kepada bahagian badan kapal, manakala anodnya disalurkan kepada bahan tertentu untuk menerima ion positif da bukannya untuk dijadikan korban kakisan.

Antara kompenen penting sistem ini ialah ;

i) Anod lengai yang tidak reaktif

ii) Sumber tenaga elektrik DC.

iii) Kurang rintangan antara anod dengan badan kapal.

Bahan-bahan yang sesuai untuk digunakan sebagai anod tidak terguna (non-consumable anodes) atau anod lengai untuk sistem ICCP ini perlulah memiliki ciri berikut iaitu;

a. tahap pengaliran elektrik yang baik.

b. Kadar karatan yang rendah. Tidak sesuai menggunakan magnesium dan zink kerana tidak ekonomi dan perlu kerap ditukar akibat kakisan padanya.

c. Ciri mekanikal yang baik iaitu tahan tegasan dan tekanan yang dikenakan padanya.

d. Mudah dibentuk untuk disesuaikan dengan kondisi badan kapal.

e. Rendah kos penyelenggaraan.

f. mampu menahan arus elektrik tinggi yang berterusan tanpa menerbitkan lapisan oksida pada permukaannya.

Anod pada sistem ICCP adalah berbentuk tiub dan rod solid. Bahan yang sesuai digunakan sebagai anod tidak terguna ialah bahan magnetik iaitu logam dengan struktur BCC ( kubus berpusat badan) , bahan berkorban seperti grafit, besi tinggi silikon(14-18% Si), Plumbum oksida, Aloi Plumbum, bahan logam plat seperti tantalum, niobium, titanium).

Contoh anod yang digunakan dalam perlindungan katod jenis ICCP untuk kapal.

Rajah dibawah menunjukkan contoh penggunaan kaedah ICCP untuk mengelak karatan pada tangki atau paip bawah tanah.

Arus terus dipasang dan disebarkan kepada badan kapal seluruhnya. Anod tidak terguna disambung kepada hujung positif manakala badan kapal disambung dengan hujung negatif untuk dijadikan katod. Sistem ICCP akan mengawal jumlah elektrik yang dugunakan agar tida melampau dan merosakkan bahan lain dalam struktur kapal dan menghasilkan pelrindunga karat yang lebih optimum. Sebenarnya sistem ICCP adalah sistem sekunder yang bersifat kecemasan. Kapal selalunya akan dicat dengan cat anti karat. Cat akan berfungsi sebagai penghalang keluli daripada bersentuhan dengan air laut yang kaya dengan natrium klorida serta mempasifkan permukaan keluli. Apabila cat tercalar, terhakis atau terkupas, barulah sistem ICCP akan mengedarkan arus elektrik ke seluruh kapal dan bahan anod.

Perlindungan melalui anod terkorban

Kaedah kedua untuk perlindungan katod adalah menggunakan teknik anod terkorban. Antara perkara penting dalam sistem ini ialah keperluan menyediakan

i) bahan anod terkorban.

ii) Pematerian berterusan kepada struktur yang ingin dilindungi atau terdapat penghubung konduktor antara anod dengan bahan yang ingin dilundungi.

iii) Tiada halangan penebat antara badan kapal dengan anod tersebut.

Metod ini menghendaki kita memilih bahan yang lebih reaktif untuk mengeluarkan elektron. Selalunya zink, aluminium dan magnesium digunakan kerana mampu mengelurakan elektron dalam keadaan berair.

Sebagai misalan Zink telah digunakan sebagai anod terkorbanuntuk perlindunga katod bahan-bahan marin sejak tahun 1824 lagi. Anod zink moden selalunya memiliki kandungan zink (99.99%) dialoikan dengan aluminium kadmium bersama beberapa bahan terhad seperti plumbum, besi kuprum. Reaksi kimia yang berlaku apabila anod ini dipasang pada kapal ialah;

Zn----------> Zn2+ + 2e-

Manakala pada keluli badan kapal pula;

Fe2+ + 2e- ---------> Fe (katod)


Contoh perlindungan katod jenis anod terkorban yang menggunakan zink.

Perlindungan katod jenis anod terkorban selalunya dipasang pada hujung belakang kapal kerana kakisan cat pada kapal kerap berlaku. Hal ini disebabkan putaran ombak kuat akibat pusingan kipas kapal yang berterusan. Di sinilah anod berperanan menggantikan cat untuk melindungi belakang kapal daripada terus berkarat. Propeler (kipas) kapal yang kerap menggunakan bahan bukan besi seperti kandungan kuprum yang tinggi menyebabkan kipas menjadi lebih katod berbanding hujung belakang badan kapal. Maka anod akan menyeimbangkan kecenderungan karat agar menumpu kepada anod terkorban yang dipasang tersebut.


Contoh satu set perlindungan katod jenis ICCP

Kelebihan penggunaan Perlindungan Katod berbanding teknik biasa seperti cat dan penggalvanian

Kelebihan utama menggunakan teknik perlindungan katod ialah ia boleh dipercayai untuk melindungi badan kapal secara terus menerus sama ada menggunakan anod terkorban mahupun ICCP. Ia juga meyakinkan jika cat pada kapal terguris atau calar.

Sistem ICCP dipilih juga kerana mampu melindungi kapasiti yang luas dan besar kerana para meter yang perlu diubah semasa mengubah saiz badan kapal hanyalah kapasiti aeus elektrik yang digunakan tanpa mengubah kedudukan anod dan pendawaian yang lain.

Dalam praktikal kejuruteraan marin, perlindungan ini juga menyakinkan untuk struktur marin yang tenggelam di dalam air masin yang cukup mudah menghasilkan karatan retak natrium.

Rekabentuk untuk sistem perlindungan yang moden memerlukan jurutera mengambil kira keperluan arus yang digunakan mengikut kapasiti kapal dan spessifikasi keluli badan kapal tersebut, kekuatan anod untuk menahan pembumian arus, kuantiti anod yang digunakan serta kedudukan yang paling sesuai untuk dipasang, pemeriksaan dan penyelenggaraan yang diperlukan.

Menurut James B. Bushman daripada Konsultan Kejuruteraan di Ohio Amerika Syarikat dalam tulisannya Rekabentuk Perlindungan Katod ICCP, terdapat juga kelemahan dan kekurangan jika menggunakan sistem perlindungan katod ini. Antaranya ialah penggunaan cas elektron secara melampau boleh mempercepatkan karatan pada struktur kapal yang mengandungi plumbum dan aluminum kerana persekitaran beralkali tercipta pada bahagian katod. Keadaan beralkali ini boleh menghakis sesetengah cat pada badan kapal. Evolusi hidrogen pada permukaan keluli yang berkekuatan tinggi boleh menyebabkab kerapuhan hidrogen yang semesstinya mengurangkan kekuatan keluli kapal. Kegagalan katastrofik (catastrophic) juhga boleh terjadi. Dari segi penyelenggaraan, ICCP kerap mengalami masalah kerosakan suis dan fius yang menyebabkan ketidakkawalan arus yang terlepas ke badan kapal. Serakan ion posistif juga kerap tersesat serta mengenai struktur kapal yang ingin dilindungi dan ia menyebabkan karatan boleh berlaku (stray current corrosion).

Namun begitu penyelesaian karatan pada kapal hanya mampu diselesaikan secara menyeluruh jika jurutera berjaya mengadunkan teknik pengecatan, penggalvanian, ICCP, anod terkorban serta penggunaan bahan keluli yang sesuai dengan kapasiti dan suhu perlayaran kapal tersebut. Walau apapun, bidang kejuruteraan kapal ini adalah satu bidang yang amat luas, malah kian berkemabang apabila dimajukan melalui perkongsian pintar antara negara maju dan negara membangun yang memiliki jenis air laut dan iklim yang berbeza.

Muhammad Nuruddin Bashah

nota: sila email saya untuk dapatkan edisi yang lengkap gambarajah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Engineering Blogger

Template Design | Elque 2007